Selasa, 03-08-2021 – Polis rejim zionis pada malam semalam menyerbu timur Baitulmuqaddis di kejiranan Sheikh Jarrah, menyerbu rumah dan menyerang warga serta aktivis Palestin.
Menurut sumber tempatan, polis Israel mengepung kejiranan itu dan memecah masuk serta menyerang penduduk dan aktivis tempatan. Ketika serbuan di Sheikh Jarrah, para pemuda tempatan menghujani polis rejim dengan mercun.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Selasa, 03-08-2021 – Sam Rose, pengarah hal ehwal UNRWA di Gaza, mengatakan bahawa kekurangan bahan mentah akibat penutupan lintasan Israel dengan Semenanjung Gaza menghalang proses pembinaan semula, yang juga memerlukan dana.
Rose menegaskan bahawa rayuan khas telah dilancarkan oleh UNRWA pada akhir bulan Jun untuk mendapatkan dana yang diperlukan untuk membina semula Gaza dan membantu usaha baik pulih akibat kesan perang.
Dia mengatakan bahawa agensi pelarian tersebut telah memulakan penilaian kerosakannya sendiri di Gaza berikutan “penilaian segera kerosakan dan keperluan” antarabangsa yang dilancarkan semasa pertemuan dengan penderma pada waktu itu.
Pegawai PBB tersebut juga menegaskan bahawa agensi itu memerlukan $160 juta untuk membina semula rumah-rumah kediaman bagi keluarga pelarian Gaza.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Selasa, 03-08-2021 – Rejim Zionis telah menahan 12 warga Palestin pada petang hari Sabtu semasa mereka sedang menyertai perarakan anti-penempatan berhampiran pusat pemeriksaan Tayaseer di timur Tubas.
Pertempuran meletus antara orang awam dan tentera rejim setelah perarakan itu menuju pusat pemeriksaan untuk menolak penempatan dan penyitaan tanah. Rejim Zionis melepaskan bom tangan dan tabung gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menaikkan bendera Palestin dan melemparkan batu ke arah tentera.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Selasa, 03-08-2021 – Pihak berkuasa Israel telah memaksa seorang warganegara Palestine dari Jaljulia di wilayah penduduk 1948 agar merobohkan gudang pertanian di tanahnya dengan alasan beliau telah membina gudang tersebut tanpa izin pihak berkuasa. Arahan ini telah dikeluarkan secara tiba-tiba pada pagi Ahad.
Menurut sumber tempatan, pihak berkuasa Israel mengeluarkan perintah pembongkaran dan denda sebanyak 15,000 shekel terhadap warganegara itu sekiranya beliau enggan merobohkan gudangnya yang terletak di kawasan Basateen di kampung itu.
Warganegara tersebut terpaksa merobohkan gudang itu sendiri bagi mengelakkan perbelanjaan perobohan dan denda yang tinggi yang dikenakan oleh pihak perbandaran Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Selasa, 03-08-2021 – Berpuluh penceroboh Yahudi pada hari Ahad mengunjungi masjid suci al-Aqsa dan melaksanakan ritual kitab Talmud di timur halaman masjid itu.
Penceroboh melakukan lawatan berdekatan pintu al-Rahma sebelum keluar melalui pintu al-Silsila di bawah perlindungan polis Israel. Pasukan polis Israel membantu penceroboh tersebut dengan memastikan keselamatan mereka masuk dari pintu Magharabi.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Selasa, 03-08-2021 – Atlet Lubnan, Abdullah Miniato bertindak menarik diri daripada Kejohanan MMA Antarabangsa di Bulgaria kerana menolak kewujudan negara Israel. Jurulatih Mohamed Al-Gharbi berkata, keputusan itu dibuat bersama selepas Miniato mendapat undian menentang Israel.
Pihak media Lubnan menyatakan, atlet itu enggan mengiktiraf Israel dan mengamalkan sebarang tindakan normalisasi sekaligus menarik diri selepas mengetahui siapakah pihak lawannya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Isnin, 02-08-2021 – Hari Selasa lalu merupakan peringatan tahun ke 4 kemenangan warga Al-Quds dalam pertempuran “Mobilisasi Gerbang Ashbat” atau dikenal dengan pertempuran gerbang elektronik, yang berjaya memaksa penjajah Israel menghapuskan gerbang elektronik yang mereka pasang di pintu masuk Masjidil Aqsa Mubarak.
Pada 27 Julai 2017, pihak otoriti Israel menghilangkan gerbang elektronik yang mereka pasang di pintu gerbang Al-Aqsa, setelah kalah menghadapi kegigihan warga Al-Quds, yang berjaya menggagalkan rancangan Israel memonopoli Masjidil Aqsa.
Ketika itu otoriti Israel membuka pintu gerbang Al-Aqsa, kecuali pintu Hutta yang masih ditutup, namun warga Al-Quds tetap gigih tidak mahu masuk kecuali dari pintu tersebut, sehingga penjajah Israel terpaksa tunduk dan warga Al-Quds memasukinya dengan bertakbir penuh kemenangan.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Isnin, 02-08-2021 – Kementerian Kesihatan Palestin telah melaporkan 1 kematian baru yang berkaitan dengan Covid-19 (coronavirus), 139 kes positif dan 62 orang pesakit yang diletakan dalam tempoh pemulihan di Tebing Barat dan Jalur Gaza selama 24 jam pada Selasa lalu.
Menurut laporan harian kementerian, mangsa yang meninggal tersebut akibat virus itu berasal daripada Gaza.
Seramai 21 orang pesakit juga telah menerima rawatan perubatan di hospital dan pusat rawatan khas dan 9 orang daripadanya telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Isnin, 02-08-2021 – Pihak berkuasa penjara Israel pada hari Isnin lalu telah menyerbu beberapa bilik tahanan di penjara Ofer dan Ramon, mengasari beberapa tahanan Palestin, mengasingkan salah seorang dari mereka dan memindahkan empat yang lain ke tempat penahanan yang berbeza.
Menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS), pihak berkuasa Israel telah menyerbu dengan ganas bilik-bilik tahanan di bahagian 14 penjara Ofer dan mengheret seorang tahanan ke bilik pengasingan.
PPS tidak menyatakan identiti tahanan yang telah diasingkan itu mahupun mendedahkan samada tahanan tersebut sedang menjalani mogok lapar.
Akibatnya, para tahanan di Ofer telah menutup semua bahagian sebagai bantahan atas tindakan Israel yang sewenang-wenangnya itu.
Sementara itu, pasukan Israel telah mengasari empat tahanan yang bermogok lapar di penjara Ramon dan memindahkan mereka ke tempat tahanan lain.
Keempat-empat tahanan, yang telah mengadakan mogok lapar selama 12 hari, adalah Mahmoud al-Fasfous, Guevara an-Nammoura, Ra’fat ad-Darawish, dan Kayed al-Fasfous. Mereka masing-masing dipindahkan ke tahanan pengasingan di penjara Beersheba, Ashkelon, Ohli Kedar, dan Ramla.
10 tahanan Palestin yang lain juga sedang melakukan mogok lapar terbuka selama beberapa hari sebagai bantahan terhadap penahanan pentadbiran mereka, yang dilakukan tanpa dakwaan atau perbicaraan.
Sebilangan besar tahanan pentadbiran yang terdiri daripada hampir 540 orang Palestin, adalah bekas tahanan yang telahpun menghabiskan masa bertahun-tahun di penjara Israel.
Penahanan pentadbiran adalah di mana tahanan dipenjara tanpa perbicaraan atau tuduhan. Ia digunakan secara meluas oleh Israel terhadap rakyat Palestin semata-mata dengan alasan seseorang itu merancang untuk melakukan kesalahan di masa hadapan. Ia tidak mempunyai had masa, dan adalah berdasarkan fail-fail yang kononnya rahsia.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin, 02-08-2021 – Sebilangan besar peneroka Yahudi di bawah kawalan polis telah mencemari Masjid Al-Aqsa di Jerusalem pada hari Selasa pagi.
Menurut sumber setempat, sekurang-kurangnya 194 peneroka memasuki masjid secara berkumpulan dan mengelilingi halamannya dengan kawalan polis. Sebilangan peneroka menerima ceramah dari rabbi mengenai Temple Mount dan melakukan sembahyang Talmud semasa lawatan mereka di tanah suci Islam itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin, 02-08-2021 – Sada Social, sebuah kumpulan hak media sosial, telah mengecam pentadbiran Facebook kerana meningkatkan kempen penapisannya yang tidak adil dan sekatan terhadap halaman Palestin milik agensi berita.
Sada Social mengatakan bahawa mereka menerima banyak aduan baru-baru ini mengenai sekatan berterusan Facebook dalam menerbitkan catatan dan mengakses halaman milik agensi berita terkenal di kawasan Palestin, walaupun apa yang mereka terbitkan itu hanyalah isi kandungan berita.
Sada Social menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau pelanggaran Facebook terhadap kandungan Palestin dan berusaha menghubungi syarikat media sosial tersebut untuk mendapatkan penjelasan mengenai alasan atas tindakan itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Dr Nurul
Isnin, 02-08-2021 – Keganasan meletus pada malam hari Isnin di antara pemuda Palestin dan tentera rejim Zionis di kawasan timur bandar Nablus selepas beratus penceroboh Yahudi memenuhi kawasan tersebut untuk melakukan ritual di makam nabi Yusuf.
Sumber tempatan berkata berpuluh pemuda menutup jalan di kawasan timur dengan batu dan membakar tayar; dan berdepan tentera rejim dan kenderaan peronda mereka dengan membaling batu dan bom Molotov ke arah mereka. Mereka menambah bahawa pertempuran memuncak setelah lebih ramai tentera Israel tiba dengan menaiki kenderaan tentera termasuk jentolak menyerbu kawasan timur Nablus dan memenuhi jalan raya untuk memberi perlindungan ke atas bas dan kereta yang membawa beratus penceroboh.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Isnin, 02-08-2021 – Sejumlah penduduk ditangkap dalam serbuan di kawasan kediaman Tebing Barat malam semalam dan subuh Selasa. Serangan bersenjata berlaku antara Rejim Zionis dengan pasukan penentang ketika serbuan dilakukan.
Dalam pada itu, pertempuran antara Rejim Zionis dengan pemuda tempatan di bandar Jenin, mengakibatkan seorang cedera terkena tembakan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Rabu, 28-07-2021 – Peneroka haram Yahudi pada hari Rabu menghalang pengembala Palestin dari menggunakan telaga Ein al-Hilweh di utara Lembah Jordan untuk haiwan ternakan pengembala Palestin. Pegawai tempatan Aref Daraghmeh berkata peneroka melemparkan batu kepada pengembala dan lembu ternakan mereka dari menghampiri sumber air berkenaan. Kira-kira dua hari lepas, peneroka yang sama tanam banyak pohon Ein al-Hilweh yang dirampas oleh mereka beberapa bulan yang lepas.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Rabu, 28-07-2021 – Rejim Zionis menculik dua pemuda Palestin di kediaman mereka di bandar Rummanah, barat Jenin pada Subuh Khamis. Menurut sumber tempatan, penculikan Mu’ein Amour dan Raja Abu Qiyas berlaku setelah Rejim Zionis bertindak memecah masuk dan menggeledah beberapa rumah di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, Rejim Zionis turut melakukan rondaan sekitar jalanan kota dan kawasan tanah berhampiran tembok pemisah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil