oleh : Maszlee Malik
Sikap melampau AS berhubung isu penjajahan bumi Palestin bukanlah sesuatu yang baru. Lebih 90 veto telah dikeluarkan oleh AS di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berhubung tindakan ke atas kekejaman rejim Zionis Israel. AS sememangnya menjadi pelindung kepada negara haram Israel yang telah ditubuhkan demi menjayakan cita-cita golongan Zionis. Sebab utama perlindungan tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah hasil lobi golongan Kristian Zionis yang begitu kuat pengaruhnya di kongres AS. Kumpulan yang dikenali sebagai Neo-Conservative itu telah bergabung dengan para Yahudi Zionis yang juga merupakan pemodal-pemodal antarabangsa telah berjaya mencaturkan segala polisi AS berkaitan dasar luar mereka. Fakta ini bukanlah lagi rahsia, penulis-penulis seperti Michael Prior, Ilan Pappe, Martin Buber, Collin Piper, Stephen Sizer dan lain-lain penulis lagi telah lama mendedahkan makar kumpulan tersebut.