
Selasa, 02/12/2025 – Pusat Perlindungan Wartawan Palestin (PJPC) mendedahkan bahawa seorang wartawan Palestin yang ditahan oleh pasukan pendudukan Israel telah menjadi mangsa pemerkosaan dan penyeksaan seksual di dalam sebuah pusat tahanan, termasuk menggunakan anjing terlatih, sehingga mengakibatkan trauma psikologi yang teruk dan menjadikannya tidak stabil secara mental selama lebih dua bulan. Pusat itu menyifatkan kejadian ini sebagai antara jenayah paling serius yang didokumentasikan terhadap wartawan di penjara Israel.
Dalam satu kenyataan pada hari Ahad, PJPC menjelaskan bahawa jenayah ini berlaku di fasiliti tahanan Sde Teiman, selepas wartawan berkenaan bersama tujuh lagi tahanan secara paksa dibawa ke kawasan terpencil dalam kem tersebut, di mana mereka menjadi mangsa serangan seksual secara berkumpulan. Tentera Israel berada di tempat kejadian, dengan sesetengahnya sengaja merakam penyeksaan itu sambil mengejek mangsa yang diikat sepenuhnya, ditutup mata, dan dinafikan sebarang perlindungan undang-undang atau kemanusiaan.
Menurut laporan wartawan itu, beliau memilih untuk dikenali sebagai “Yahya” bagi melindungi keluarganya. Serangan tersebut berlangsung kira-kira tiga minit, selepas itu beliau mengalami keruntuhan psikologi dan neurologi yang teruk sehingga tidak mampu menumpukan perhatian atau berfungsi secara normal selama lebih dua bulan. Gejala ini, menurut pakar perubatan dan hak asasi manusia yang meneliti testimoni tersebut, selari dengan gangguan tekanan akut (acute stress disorder) dan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).
“Yahya,” yang telah ditahan selama 20 bulan oleh Israel, termasuk tiga bulan di Sde Teiman dan satu bulan di Penjara Ofer, menyatakan bahawa kejadian ini bukanlah insiden terpencil, sebaliknya sebahagian daripada polisi penyeksaan sistematik bertujuan mematahkan semangat tahanan dan mempermalukan mereka secara fizikal dan psikologi. Beliau menegaskan bahawa pihak pendudukan menggunakan anjing sebagai alat penyeksaan secara langsung, bertentangan dengan konvensyen antarabangsa yang melarang penyeksaan serta layanan kejam, tidak berperikemanusiaan, atau merendahkan martabat.
Beliau turut melaporkan telah melalui sesi interogasi yang keras, diikat, ditutup mata, dan dipindahkan dengan kenderaan tentera ke pelbagai pusat tahanan, antaranya yang paling ketara ialah Sde Teiman, di mana beliau menghabiskan kira-kira 100 hari dalam keadaan yang digambarkan sebagai “tidak berperikemanusiaan.” Ini termasuk penyeksaan fizikal dan psikologi, kekurangan tidur, kelaparan, penghinaan agama, penafian rawatan perubatan, dan kejutan elektrik.
Wartawan itu menegaskan bahawa serangan seksual yang dialaminya merupakan antara jenayah paling berat terhadapnya di fasiliti tahanan, dan pelanggaran berlaku di kawasan terpencil dengan kehadiran tentera dan pegawai, tanpa sebarang pemantauan atau akauntabiliti.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa pendudukan meningkatkan penyeksaan selepas mengetahui profesionnya sebagai wartawan. Beliau diserang selepas mendedahkan pekerjaannya, dituduh menyebarkan “maklumat menyesatkan,” dan diugut dengan hukuman penjara seumur hidup kerana aktiviti media yang dijalankan.
Dalam testimoni itu, beliau menggambarkan keadaan tahanan yang sukar, termasuk kesesakan luar biasa, kekurangan kebersihan, penyebaran penyakit, kekurangan makanan dan air, larangan menunaikan solat, serta layanan merendahkan martabat. Beliau juga menyaksikan kematian beberapa tahanan di dalam fasiliti, termasuk akademik dan doktor, dalam keadaan misteri. “Kami mengharungi musim luruh dan musim sejuk hanya memakai pakaian musim panas yang koyak, tidur di atas jubin lantai,” katanya.
Beliau menambah, “Kami masuk ke pusat tahanan ini dalam keadaan hidup, dan keluar dengan tubuh yang rosak dan jiwa yang hancur. Sesiapa yang tidak mati di dalam tetap keluar dalam keadaan musnah.”
Pasukan pendudukan Israel telah menahan “Yahya” semasa serbuan ke Kompleks Perubatan al-Shifa di Bandar Gaza pada 18 Mac 2024, ketika beliau menjalankan tugas jurnalistik memakai vest media dan membawa kamera.
PJPC menegaskan bahawa apa yang dialami wartawan ini merupakan pemerkosaan dan penyeksaan seksual mengikut Konvensyen Menentang Penyeksaan 1984, jenayah perang di bawah Artikel (8) Statut Rom, dan jenayah terhadap kemanusiaan jika dibuktikan bersifat sistematik dan berulang menurut Artikel (7). Ia juga merupakan pelanggaran serius Artikel Bersama (3) Konvensyen Geneva, dan serangan langsung terhadap wartawan, yang merupakan orang awam yang dilindungi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pusat itu menambah bahawa penggunaan anjing dalam serangan seksual merupakan salah satu bentuk penyeksaan paling berbahaya yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa, bertujuan untuk menghancurkan martabat dan psikologi mangsa sepenuhnya.
PJPC menyeru agar jenayah ini dimasukkan ke dalam fail pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, membuka siasatan antarabangsa yang segera dan bebas, mendakwa semua pihak bertanggungjawab mengikut prinsip bidang kuasa sejagat, serta memastikan rawatan perubatan dan psikologi segera untuk mangsa, selain perlindungan dan keselamatan undang-undang bagi saksi.
Pusat itu menegaskan bahawa jenayah ini tidak akan tamat dengan masa, dan testimoni wartawan Palestin merupakan bukti terkumpul tentang polisi penyeksaan sistematik di penjara Israel yang memerlukan akauntabiliti jenayah antarabangsa.
Penterjemah : Ezatul












