
oleh : Maszlee Malik
Pepatah Melayu ada mengatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Peperangan Zionis ke atas Beirut pula menyaksikan satu fenomena yang agak berbeza, iaitu hujan roket di kawasan-kawasan utara wilayah jajahan Zionis seperti Nahariya, Kiryat Shemona, Haifa, Hadera, Nazareth, Nazareth Illit, Rosh Pina, Tiberia, Tzfat, Afula, Beit She’an, Karmiel dan Maalot. Roket-roket yang dilancarkan oleh Hizbullah ke sasaran-sasaran berkenaan adalah tindak balas di atas kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat awam Lubnan. Selama sebulan, roket-roket al-Fajr, Ra’ad dan Khaybar tersebut telah dilancarkan dan telah berjaya menyebabkan beberapa kemusnahan di pihak Zionis. Kesan yang paling besar sekali ialah kegerunan di hati para penduduk penjajah Zionis dan juga kejayaan menyebabkan penghijrahan lebih setengah juta (500,000) rakyat Zionis dari wilayah-wilayah utara jajahan rejim. Fenomena ini merupakan yang pertama sekali berlaku di dalam sejarah rejim Zionis semenjak negara “Israel” ditubuhkan pada tahun 1948.












