Categories
Berita Semasa

Hamas Berkabung Atas Kesyahidan Emad Sarhan Selepas 24 Tahun Dipenjara Israel

Selasa, 16/06/2026 – Pergerakan Hamas merakamkan ucapan takziah atas pemergian tahanan Palestin, Emad Sarhan, 48, yang berasal dari Haifa, selepas syahid di dalam penjara Gilboa milik Israel setelah lebih 24 tahun berada dalam tahanan.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Hamas menyifatkan kematiannya sebagai satu lagi jenayah yang menambah senarai panjang pelanggaran terhadap tahanan Palestin.

Hamas menegaskan bahawa Sarhan syahid akibat dasar pengabaian perubatan yang disengajakan serta penyeksaan yang dikenakan terhadap tahanan Palestin di penjara-penjara Israel. Menurut Hamas, para tahanan kini berdepan pelanggaran yang semakin membimbangkan dan mengancam nyawa mereka.

“Pihak perkhidmatan penjara Israel terus menafikan hak tahanan untuk mendapatkan rawatan perubatan serta menempatkan mereka dalam keadaan yang amat sukar sebagai sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan menyeksa dan mematahkan semangat mereka,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Hamas menegaskan keyakinannya bahawa tindakan sedemikian tidak akan berjaya melemahkan ketabahan dan keazaman para tahanan Palestin.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Tentera Israel mengulangi pelanggaran mereka di Gaza, seorang syahid, berlaku kecederaan, pengeboman dan perobohan

Selasa, 16/06/2026 – Tentera Israel dilaporkan terus melakukan pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata untuk hari ke-244 berturut-turut melalui serangan udara, tembakan dan operasi pemusnahan di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza.

Menurut sumber perubatan, seorang rakyat Palestin, Abdullah Abu Mustafa, disahkan syahid akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di Jalan Salahuddin, berhampiran Sekolah Al-Mazra’ah di bandar Deir al-Balah, tengah Gaza, tiga hari lalu.

Dalam perkembangan lain, sumber perubatan memaklumkan bahawa pasukan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin telah memindahkan seorang mangsa yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan secara langsung oleh tentera Israel dari kawasan barat Kem Nuseirat di tengah Gaza ke Hospital Syuhada Al-Aqsa pada pagi Rabu lepas.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Iran Serang Pengkalan AS sebagai Balasan atas Serangan Washington

Selasa, 16/06/2026 – Garda Revolusi atau Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) Iran mengumumkan telah melancarkan serangan peluru berpandu dan drone besar-besaran yang mensasarkan pengkalan udara dan angkatan laut Amerika Syarikat (AS) di kawasan tersebut. Serangan itu disebut sebagai balasan atas serangan AS yang mensasarkan wilayah Iran selatan pada malam sebelumnya.

Dalam pernyataan yang disiarkan televisyen Iran, IRGC mengatakan pihaknya mensasarkan pengkalan-pengkalan AS, termasuk markas besar Armada Kelima AS di Bahrain, Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, dan Pangkalan Udara Al Azraq di Jordan. Serangan itu disebut sebagai tanggapan atas apa yang mereka sebut sebagai “Serangan Amerika”.

IRGC memperingatkan bahawa “seterusnya serangan ini akan dibalas dengan respons yang lebih keras”. IRGC menambah bahawa mereka menghancurkan 21 sasaran di dalam pangkalan udara dan angkatan laut AS di kawasan tersebut.

Pejabat Berita Fars Iran melaporkan bahawa serangan peluru berpandu mensasarkan Pangkalan Udara Al Azraq AS di Jordan. Serangan itu telah menghancurkan empat sasaran, termasuk hanggar pesawat tempur F-35.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Dr.  Abu Safiya: Penjajah menangkap saya sewenang-wenangnya.

Selasa, 16/06/2026 – Semasa perbicaraannya, Dr. Hossam Abu Safiya, doktor Palestin yang ditahan di penjara pendudukan Israel dan pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Semenanjung Gaza, menegaskan bahawa penangkapannya tidak mempunyai sebarang justifikasi undang-undang, menekankan bahawa dia hanya menjalankan tugas profesional dan kemanusiaannya dalam menyediakan rawatan perubatan kepada pesakit.

Peguam Nasser Abu Awda menyampaikan pesanan kepada doktor Abu Safiya yang dipenjarakan, di mana beliau mengatakan bahawa beliau seorang pakar pediatrik yang telah mendedikasikan usahanya untuk merawat mereka yang sakit dan cedera serta memberikan penjagaan kepada kumpulan yang paling terdedah di Semenanjung Gaza.

Abu Safia menambah dalam suratnya: “Saya menjalankan tugas saya mengikut undang-undang antarabangsa dan piawaian kemanusiaan, dan penangkapan saya adalah tidak adil dan sewenang-wenangnya,” menuntut pembebasannya segera.

Peguam Abu Awda menjelaskan bahawa beliau telah mengemukakan permintaan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung kes anak guamnya, dan meramalkan ia akan dikeluarkan dalam beberapa jam atau hari akan datang.

Dalam konteks yang sama, Abu Awda menegaskan bahawa Dr. Abu Safiya menghadapi keadaan kesihatan dan kemanusiaan yang sukar di dalam penjara Israel, dengan menyatakan bahawa beliau baru-baru ini dipindahkan ke kurungan bersendirian di penjara Nafha.

Dia menjelaskan bahawa anak guamnya dinafikan hubungan dengan peguamnya, organisasi hak asasi manusia dan banduan lain, sementara penahanannya berterusan.

Pasukan pendudukan telah menahan Abu Safiya pada 27 Disember 2024, semasa serbuan di Hospital Kamal Adwan di utara Semenanjung Gaza, ketika kemudahan perubatan itu sedang menjalankan tugasnya di tengah-tengah keadaan perang.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Anak Palestin Syahid Sertai Bapa dan Kakaknya Selepas 2 Hari

Khamis, 11/06/2026 – Jumlah kematian akibat serangan Israel di Bandar Gaza meningkat pada petang Selasa selepas Malak Abdullah Qaddoum, seorang kanak-kanak Palestin, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dua hari sebelumnya dalam serangan di barat Bandar Gaza.

Sumber tempatan berkata Malak meninggal dunia akibat kecederaannya, menyertai bapa dan kakaknya, yang terkorban dalam serangan yang sama.

Dalam kejadian berasingan, lima orang cedera dan dibawa ke Hospital Al-Awda selepas tembakan menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran jambatan Wadi Gaza di Jalan Salah al-Din di tengah Gaza.

Menurut laporan tempatan, tembakan itu dilakukan oleh individu yang digambarkan sebagai rakan sekutu dengan pasukan Zionis, mencederakan beberapa orang awam di dalam kenderaan itu.

Kempen genosid Zionis di Gaza telah membunuh hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 orang, menurut angka Palestin.

Walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai pada Oktober tahun lepas, pasukan Israel terus melancarkan serangan di pelbagai bahagian Gaza, sementara sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, makanan, ubat-ubatan dan bekalan tempat tinggal masih berkuat kuasa.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Perancis kenakan sekatan terhadap peneroka Israel, larang Smotrich memasuki wilayahnya

Khamis, 11/06/2026 – Perancis pada hari Selasa mengumumkan pakej baharu sekatan yang menyasarkan pegawai dan peneroka Israel berhubung perluasan aktiviti penempatan haram serta keganasan peneroka di Tebing Barat yang diduduki, dengan penyelarasan bersama Britain, Kanada, Australia, New Zealand dan Norway.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot, berkata dalam satu hantaran di platform X bahawa keenam-enam negara tersebut telah bersetuju untuk mengambil tindakan bersama terhadap individu yang bertanggungjawab meningkatkan perluasan penempatan haram dan keganasan berkaitan di Tebing Barat.

Beliau menjelaskan bahawa Perancis telah mengenakan larangan memasuki negara itu terhadap Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, bersama empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan organisasi penempatan haram dan 21 peneroka yang didakwa terlibat dalam tindakan keganasan.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Zionis Paksa Dua Saudara Palestin Roboh Bangunan

Khamis, 11/06/2026 – Zionis pada hari Ahad memaksa dua beradik Palestin, Nabil Abu Juma dan Sami Abu Juma, untuk merobohkan sendiri sebuah bangunan kediaman yang mengandungi dua pangsapuri di bandar Al-Tur, timur Baitulmaqdis yang Dijajah.

Bangunan itu telah berdiri sejak tahun 2000. Selama bertahun-tahun, pemiliknya telah dikenakan denda dan pelanggaran berulang kali yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel kerana didakwa dibina tanpa permit Zionis.

Zionis telah menangguhkan perintah perobohan beberapa kali sebelum memberikan tarikh akhir kepada adik-beradik itu iaitu 26 Jun 2026, untuk merobohkan bangunan itu sendiri atau menghadapi denda tambahan dan hukuman.

Pihak berkuasa perbandaran Baitulmaqdis terus menyekat permit bangunan untuk rakyat Palestin dengan ketat sambil mempergiatkan perobohan rumah dan memaksa penduduk melakukan perobohan sendiri, satu dasar yang dilihat secara meluas sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menekan rakyat Palestin dan mengehadkan kehadiran mereka di bandar itu.

Pertubuhan hak asasi manusia Palestin dan antarabangsa telah berulang kali menekankan sekatan diskriminasi yang dikenakan ke atas pembinaan Palestin di Baitulmaqdis yang dijajah, walaupun projek penempatan Zionis terus berkembang di seluruh bandar.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Kumpulan Hak Asasi Desak Siasatan Jenayah terhadap Dakwaan Serangan Seksual ke atas Wartawan Jerman di Penjara Israel

Khamis, 11/06/2026 – Pertubuhan hak asasi undang-undang, Adalah, menggesa pihak berkuasa Israel menjalankan siasatan jenayah segera berhubung dakwaan seorang wartawan wanita Jerman yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan seksual, keganasan fizikal dan layanan yang menjatuhkan maruah ketika ditahan di Penjara Givon di Ramla.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Adalah memaklumkan bahawa mereka telah mengemukakan aduan rasmi kepada Peguam Negara Israel, penasihat undang-undang Perkhidmatan Penjara Israel, unit yang bertanggungjawab menyiasat kakitangan penjara, serta pihak pengurusan Penjara Givon. Mereka menuntut siasatan menyeluruh dijalankan dan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan.

Kes ini bermula pada Oktober lalu apabila tentera laut Israel memintas beberapa kapal yang menyertai misi “Global Sumud Flotilla” di perairan antarabangsa. Misi tersebut melibatkan lebih 500 aktivis dan berlepas dari beberapa pelabuhan di Eropah dan Afrika dengan tujuan mencabar sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.

Menurut Adalah, wartawan berkenaan yang hanya dikenali dengan inisial “A.L.” mendakwa beliau mengalami pelbagai bentuk penderaan sejak dipindahkan dari pelabuhan ke Penjara Ketziot di wilayah Negev. Antara dakwaan yang dibuat termasuk diikat dalam tempoh yang lama, ditutup mata, dicaci secara lisan, dipukul serta diugut.

Adalah turut menyatakan bahawa wanita tersebut mendakwa menerima layanan yang memalukan ketika ditahan di Penjara Givon. Keterangannya juga mengandungi dakwaan serangan seksual serta pelbagai pelanggaran hak asasi lain sepanjang tempoh tahanan.

Menurut pertubuhan itu, dakwaan yang serius ini memerlukan siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh kerana ia mungkin melibatkan pelanggaran undang-undang Israel serta undang-undang antarabangsa. Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan peguam dan pakar undang-undang antarabangsa telah mengemukakan permohonan kepada International Criminal Court untuk memperluaskan siasatan berkaitan situasi di Palestin. Permohonan itu bertujuan memasukkan dakwaan penderaan yang dilaporkan oleh aktivis Global Sumud Flotilla semasa usaha mereka untuk memasuki Gaza.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Wanita dan Kanak-Kanak Terbunuh dalam Serangan Israel ke atas Khemah, Dua Lagi Meninggal Dunia Akibat Kecederaan di Gaza

Khamis, 04/06/2026 – Dua orang awam Palestin terbunuh dalam serangan Israel, manakala dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam beberapa hari kebelakangan ini di Semenanjung Gaza pada hari Isnin.

Menurut media Palestin, satu serangan Israel yang menyasarkan sebuah khemah di kawasan al-Mawasi, Khan Yunis telah mengorbankan seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan serta mencederakan 17 orang lain, kebanyakannya kanak-kanak.

Sumber tempatan mengenal pasti kedua-dua syahid tersebut sebagai Hanan Mahmoud, 31 tahun, dan Manatallah Abu Labda, 6 tahun. Mereka dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel ke atas kem penempatan sementara Gheith di barat Khan Yunis.

Terdahulu, dua lagi rakyat Palestin disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat serangan berasingan Israel yang berlaku baru-baru ini di Gaza.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Tentera AS menyasarkan bot Iran di selatan Pulau Larak

Khamis, 04/06/2026 – Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan bahawa pihaknya telah melancarkan beberapa serangan di selatan Iran pada Isnin, manakala media Iran melaporkan jet pejuang Amerika menyerang bot-bot Iran di selatan Pulau Larak di Selat Hormuz selepas kedengaran bunyi letupan pada waktu malam.

Jurucakap CENTCOM berkata, tentera Amerika melaksanakan serangan tersebut dengan mendakwa ia menyasarkan platform peluru berpandu serta bot Iran yang didakwa cuba menanam periuk api di kawasan berkenaan. Sementara itu, seorang pegawai Amerika memberitahu Al Jazeera bahawa Iran didakwa cuba menyerang pasukan AS sepanjang tempoh 24 jam lalu. Namun, beliau menyatakan serangan Iran itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dalam kalangan anggota tentera Amerika.

Dalam perkembangan berkaitan, saluran “Fox News”, memetik seorang pegawai kanan Amerika, melaporkan bahawa tentera AS turut mengebom sebuah lokasi sistem peluru berpandu darat ke udara jenis SAM di Bandar Abbas selepas ia didakwa menyasarkan jet pejuang Amerika.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Amaran Terhadap Rancangan Pengusiran Khan Al-ahmar, Hamas Sifatkan Sebagai “Pembersihan Etnik”

Jumaat, 22/05/2026 – Pegawai dan pertubuhan Palestin memberi amaran terhadap implikasi langkah terbaharu Israel yang bertujuan mengusir komuniti Badwi di Khan al-Ahmar, timur Baitulmaqdis yang diduduki, selepas Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menandatangani arahan berkaitan pemindahan penduduk kawasan tersebut. Pihak Palestin menyatakan langkah itu merupakan sebahagian daripada projek penempatan lebih besar yang bertujuan memisahkan Tebing Barat bahagian utara dan selatan serta mengukuhkan kawalan Israel ke atas Baitulmaqdis yang diduduki.

Ketua Suruhanjaya Palestin Menentang Tembok dan Penempatan, Moayad Shaaban, menyifatkan keputusan untuk mengosongkan Khan al-Ahmar sebagai peningkatan berbahaya dalam dasar pengusiran paksa Israel terhadap rakyat Palestin. Menurut beliau, tindakan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan sayap kanan Israel untuk meneruskan projek peluasan penempatan dan pengilhakan wilayah, selain memaksakan realiti baharu di lapangan secara kekerasan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Selasa, Shaaban berkata sasaran terhadap Khan al-Ahmar merupakan sebahagian daripada pelan penempatan strategik jangka panjang yang memfokuskan kawasan timur Baitulmaqdis. Katanya, Israel berusaha mewujudkan kesinambungan wilayah sepenuhnya antara penempatan bagi memecahkan Tebing Barat yang diduduki kepada beberapa kawasan terpisah serta menggagalkan pembentukan negara Palestin yang berdaya maju dan mempunyai hubungan wilayah yang bersambung.

Beliau turut menyatakan bahawa Khan al-Ahmar telah menjadi simbol keteguhan rakyat Palestin dalam menghadapi dasar pengusiran dan peminggiran, selain membuktikan sifat penjajahan penempatan dalam projek Israel. Menurutnya, perkara itu menjelaskan mengapa Israel berulang kali cuba menghapuskan komuniti tersebut walaupun menerima bantahan antarabangsa yang meluas serta pelbagai amaran politik, kemanusiaan, dan undang-undang mengenai kesannya.

Shaaban berkata Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebelum ini pernah menyatakan bahawa pengusiran paksa akibat dasar sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang. Beliau menegaskan bahawa peluasan penempatan dan pemindahan paksa penduduk melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Konvensyen Geneva Keempat.

Beliau juga memberi amaran bahawa pelaksanaan arahan pemindahan itu boleh membuka jalan kepada pengusiran lebih banyak komuniti Palestin lain di sekitar Baitulmaqdis dan Lembah Jordan, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengubah landskap geografi Palestin demi kepentingan peluasan penempatan Israel.

Sementara itu, Hamas menyifatkan keputusan Smotrich untuk mengarahkan pengosongan Khan al-Ahmar dan mengusir penduduknya sebagai “satu lagi jenayah” yang dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.

Dalam kenyataannya, Hamas berkata tindakan mengusir rakyat Palestin dan merampas tanah mereka untuk pembinaan ribuan unit penempatan, selain apa yang disifatkan sebagai “serangan sistematik” terhadap kewujudan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki, merupakan bentuk “pembersihan etnik sistematik” yang berlaku secara terbuka di hadapan dunia tanpa tindakan antarabangsa yang serius untuk menghentikannya atau membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Hamas turut menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan institusi antarabangsa supaya tidak terus berdiam diri serta mengambil langkah untuk mempertanggungjawabkan pemimpin Israel, selain menghentikan sikap Israel yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang menganggap penempatan Israel sebagai tidak sah.

Pergerakan itu juga menyatakan bahawa ancaman dan tindakan agresif Smotrich terhadap Pihak Berkuasa Palestin memerlukan perpaduan Palestin yang lebih kukuh serta pelaksanaan “program penentangan sebenar” bagi menghadapi dasar Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis, dan Gaza.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Amaran mengenai penurunan mendadak aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza

 

Jumaat, 22/05/2026 – Pejabat Media Kerajaan di Gaza pada hari Selasa memberi amaran tentang penurunan “mendadak dan berbahaya” dalam jumlah trak bantuan kemanusiaan yang dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza akibat sekatan yang dikenakan oleh pihak pendudukan Israel.

Ismail al-Thawabta, pengarah Pejabat Media Kerajaan, berkata angka yang direkodkan jelas menunjukkan skala penurunan tersebut serta kesinambungan dasar sekatan dan kepungan. Beliau menyatakan bahawa hanya 48,636 trak bantuan dibenarkan memasuki Gaza daripada 131,400 trak yang sepatutnya masuk sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Beliau menjelaskan bahawa tahap pematuhan Israel tidak melebihi 37%, bermakna lebih 63% keperluan asas kemanusiaan Gaza tidak dibenarkan masuk sejak gencatan senjata bermula pada Oktober 2025.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

76% Peralatan Pengimejan Perubatan Musnah Akibat Keruntuhan Sistem Kesihatan

Jumaat, 22/05/2026 – Sumber perubatan di Semenanjung Gaza mengesahkan bahawa perkhidmatan pengimejan diagnostik di hospital-hospital yang masih beroperasi kini berdepan cabaran kritikal susulan kemusnahan besar sistem kesihatan sepanjang perang.

Sumber itu memaklumkan bahawa Gaza telah kehilangan 76% peralatan pengimejan perubatannya, manakala baki 24% yang masih beroperasi terus digunakan dalam keadaan teknikal yang amat sukar ketika permintaan terhadap perkhidmatan meningkat dan penyelenggaraan serta alat ganti pula hampir tidak tersedia.

Mereka juga memaklumkan bahawa perkhidmatan MRI kini lumpuh sepenuhnya di seluruh Gaza selepas kesemua sembilan mesin MRI musnah, sekali gus melemahkan lagi keupayaan untuk menyediakan diagnosis serta rawatan kepada pesakit dan mangsa yang cedera.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Rakaman mengejutkan mendokumentasikan serangan pasukan pendudukan ke atas Kapal Global Sumud Flotilla

Jumaat, 22/05/2026 – Beberapa rakaman video yang disiarkan menerusi kamera siaran langsung di atas Kapal Global Sumud Flotilla bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza memaparkan detik-detik cemas ketika tentera laut Israel, termasuk unit komando, menyerbu kapal-kapal tersebut di perairan antarabangsa menggunakan bot laju serta teknologi gangguan komunikasi.

Rakaman itu turut menunjukkan operasi rampasan kapal dan penahanan puluhan aktivis antarabangsa yang berada di atas kapal berkenaan. Selain itu, kelihatan anggota tentera Israel menguasai kapal serta memindahkan para tahanan sebelum siaran langsung beberapa kapal terputus secara tiba-tiba.

Media Israel melaporkan bahawa operasi rampasan tersebut berlaku berhampiran pantai Cyprus, ratusan kilometer dari perairan wilayah Palestin. Sementara itu, laman berita “Walla” memaklumkan bahawa kira-kira 100 aktivis telah ditahan setakat ini.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Mogok umum di seluruh Itali sebagai solidariti terhadap Floatilla Sumud

Jumaat, 22/05/2026 – Itali menyaksikan mogok umum berskala nasional pada hari Isnin yang menjejaskan sektor pengangkutan, pendidikan dan logistik, susulan seruan kesatuan pekerja yang membantah program persenjataan semula ketenteraan, menolak genosid berterusan Israel di Gaza, serta menyatakan solidariti terhadap “Flotila Global Sumud” yang sedang berusaha memecahkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza.

Mogok tersebut berlangsung serentak dengan demonstrasi di beberapa bandar di Itali di bawah slogan “Hentikan Segalanya” (“Stop Everything”), yang dianjurkan oleh kesatuan pekerja dan kumpulan masyarakat sivil bagi membantah peningkatan kos sara hidup, dasar ketenteraan, serta pertambahan perbelanjaan untuk senjata yang dianggap mengorbankan sektor kesihatan dan pendidikan. Para penunjuk perasaan juga menuntut agar dihentikan apa yang mereka sifatkan sebagai genosid terhadap rakyat Palestin serta menyatakan sokongan terhadap flotila yang menuju ke Gaza.

Di ibu negara, Rome, para penunjuk perasaan berhimpun di salah satu dataran utama bandar itu sambil membawa sepanduk yang menggesa kerajaan Itali agar tidak terus terlibat dalam apa yang mereka sebut sebagai “bersubahat dalam jenayah” bersama Israel.

Penterjemah : Norshuhada Samudin