Categories
Berita Semasa

Zionis Usir Keluarga Palestin

Selasa, 18/08/2026 – Pasukan Zionis (IOF) telah mengambil alih tiga buah rumah bertingkat yang baru dibina di kampung Jalud, selatan Nablus di utara Tebing Barat, selepas mengusir penduduk mereka dengan senjata.

Sumber tempatan berkata pasukan Zionis menyerbu kampung Jalud dan mengubah tiga buah rumah menjadi pos tentera dan menara pengawal selepas memaksa keluarga Palestin meninggalkan kediaman mereka.

Serangan Zionis dan serangan peneroka haram semakin meningkat di selatan Nablus, di mana askar baru-baru ini telah merampas beberapa rumah Palestin sebagai pos tentera.

Di pekan Kafr Sur, selatan Tulkarem, tentera Zionis hari ini telah menyampaikan notis perobohan untuk rumah dan struktur pertanian Palestin.

Menurut sumber tempatan, notis perobohan itu menyasarkan sebuah bangunan pangsapuri lima tingkat, dua pangsapuri, empat rumah yang didiami, sebuah rumah yang belum siap dan sebuah ladang di bandar itu.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Mesir Desak Penarikan Tentera Israel dari Gaza dan Laksana Tahap Kedua Kesepakatan

Selasa, 18/08/2026 – Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty pada Ahad lalu menyeru penyelesaian penarikan tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan pelaksanaan seluruh kewajiban yang telah disepakati.

Seruan Abdelatty disampaikan setelah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak rancangan Dewan Perdamaian berkait Gaza.

Menurut pernyataan Kementerian Luar Negeri Mesir, Abdelatty menyampaikan seruan tersebut melalui telefon dengan pegawai Dewan Perdamaian, Nickolay Mladenov.

Abdelatty dan Mladenov membincangkan perkembangan terbaru di Semenanjung Gaza serta usaha untuk menyiapkan pelaksanaan rancangan Presiden AS Donald Trump dan peta jalan untuk memenuhi syarat rancangan perdamaian Gaza.

Abdelatty menekankan pentingnya mematuhi seluruh kewajiban yang telah disepakati, termasuk menjamin akses bantuan kemanusiaan yang penuh, aman dan berterusan. Beliau juga menyeru penyelesaian penarikan pasukan Israel dari Semenanjung Gaza.

Menurutnya, langkah-langkah tersebut akan membuka jalan menuju tahap kedua dan mendukung usaha pemulihan serta rekonstruksi awal.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Euro-Med menolak naratif Israel mengenai kebuluran di Gaza

Selasa, 18/08/2026 – Euro-Med Human Rights Monitor berkata Israel terus memutarbelitkan fakta dalam usaha untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap kebuluran yang dialami orang awam di Semenanjung Gaza. Israel secara terpilih dan mengelirukan menggunakan data yang diterbitkan oleh Kluster Pemakanan UNICEF pada tahun 2026 untuk menafikan petunjuk kebuluran yang dikenal pasti oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) pada tahun 2025.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Euro-Med Monitor berkata angka 0.5% yang diketengahkan oleh Israel adalah berdasarkan secara eksklusif kepada petunjuk “berat mengikut ketinggian” (weight-for-height) yang digunakan untuk mengukur malnutrisi akut, sambil mengetepikan petunjuk lain yang lebih menyeluruh. Data berdasarkan ukur lilit pertengahan lengan atas (MUAC) menunjukkan kadar sebanyak 1.3%, iaitu kadar yang sama diperoleh apabila kedua-dua petunjuk tersebut digabungkan. Menurut organisasi itu, perkara ini mencerminkan percubaan yang disengajakan untuk mengaburkan keseluruhan dapatan dan mengetengahkan angka terendah sebagai hasil muktamad kajian tersebut.

Organisasi itu menjelaskan bahawa angka 1.3% tersebut secara efektif bermaksud bahawa seorang daripada setiap 77 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami malnutrisi akut dalam tempoh yang diliputi oleh kajian berkenaan. Ia menegaskan bahawa data tersebut hanya mencerminkan tempoh yang terhad dan tidak merangkumi kes yang berlaku sebelum atau selepas kajian, mahupun kanak-kanak yang mengalami episod malnutrisi berulang.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Kanak-kanak amputasi di Gaza membina semula impian mereka dengan bola kecil

Rabu, 12/08/2026 – Di sebuah taman permainan kecil di Bandar Gaza, yang hampir tidak cukup besar untuk sekumpulan kanak-kanak berkongsi bola dan peralatan sukan yang terhad, kanak-kanak Palestin yang kehilangan anggota badan semasa pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza cuba menuntut semula sebahagian daripada zaman kanak-kanak mereka yang dirampas daripada perang.

Dengan sumber yang sederhana, ruang sukan yang ringkas itu diubah menjadi tempat untuk ketawa, pergerakan, dan latihan. Bola sepak menjadi cara untuk kanak-kanak ini mengatasi kesakitan amputasi dan kenangan pengeboman buat seketika, dan untuk mendapatkan semula keyakinan diri dan keupayaan mereka untuk berlatih sukan dan hidup semula.

Akademi Bola Sepak “Heel” untuk Orang Kurang Upaya menganjurkan latihan khusus untuk kanak-kanak yang anggota badannya dipotong, dengan penyertaan jurulatih yang berusaha untuk pemulihan atletik dan psikologi mereka, dalam program latihan selama enam bulan, dengan tujuan membentuk pasukan sukan yang mampu menyertai pertandingan di peringkat Palestin pada masa hadapan, dan kemudian di peringkat Arab dan antarabangsa.

Jurulatih Shaimaa Felfel berkata bahawa kategori ini telah menjadi berleluasa di Semenanjung Gaza akibat ramai kanak-kanak yang kehilangan anggota badan semasa perang, dengan menyatakan bahawa latihan itu menyasarkan kanak-kanak yang anggota badannya dipotong, sama ada di kaki atau tangan.

Felfel menjelaskan bahawa kekurangan peralatan sukan merupakan salah satu cabaran paling ketara yang dihadapi dalam latihan, sehingga ketiadaan bola sepak menyebabkan penangguhan beberapa sesi latihan, sebelum bilangan yang terhad disediakan.

Beliau menekankan bahawa sukan bukan terhad kepada hiburan, tetapi juga membantu kanak-kanak melegakan tekanan psikologi, membina kecergasan fizikal, meningkatkan keyakinan diri, memperhalusi keperibadian dan memberi kanak-kanak rasa keupayaan mereka untuk menjadi ahli masyarakat yang aktif walaupun kehilangan salah satu anggota badan mereka.

Di padang, Nour Al-Ashqar bergerak dengan sebelah kaki, tetapi langkahnya membawa keazaman yang melangkaui batasan ruang. Dia datang ke latihan untuk bermain dan melepaskan ketakutan dan kesakitan yang terkumpul dalam dirinya, cuba menuntut semula sebahagian daripada apa yang telah hilang dari hidupnya.

Nour menceritakan bahawa kecederaannya berlaku pada 30 Jun 2024, semasa mengumpul kayu api bersama bapanya, apabila dia kehilangan kakinya, sebelum memulakan perjalanan baharu bersama keluarganya yang melibatkan amputasi dan kehidupan berbeza yang dikenakan oleh perang.

Dia mengatakan bahawa walaupun kehilangan kakinya, dia tidak berputus asa dengan permainan yang dicintainya, tetapi secara beransur-ansur kembali bermain bola sepak dan berlatih, menekankan bahawa kehilangan kaki tidak bermakna pengakhiran hidup, dan dia ingin membina masa depan baharu meskipun banyak impiannya musnah.

Nour tidak menyembunyikan sejauh mana kehilangannya dalam perang; dia kehilangan اbanyak perkara yang diimpikannya, dan bermain bola sepak dengan cara yang biasa dilakukannya, tetapi dia terus berlatih, dan cuba menguatkan badannya dan keupayaannya untuk bergerak, kerana impiannya belum berakhir.

Kanak-kanak Omar Halawa menyertai latihan dengan keazaman yang jelas, memanfaatkan taman permainan kecil itu sebagai ruang untuk keluar dari pengasingannya dan mendapatkan semula keupayaannya untuk bermain dan bergerak.

Omar bercakap tentang saat hidupnya berubah, apabila sekolah tempat dia belajar dibom, dia kehilangan ahli keluarganya dan dia cedera, sebelum mendapati dirinya berada di hospital kerana kehilangan salah satu kakinya.

Dari runtuhan saat yang sukar itu, Omar hari ini cuba mencipta suasana yang berbeza: bola di antara kakinya, jurulatih di sisinya, kanak-kanak bermain dengannya, dan ketawa yang cuba mengatasi ingatan pengeboman itu.

Omar berkata dia datang berlatih untuk bermain, berseronok, dan melepaskan diri daripada kesusahan yang dialaminya. Dia bermimpi untuk melancong ke luar Semenanjung Gaza untuk mendapatkan anggota badan palsu supaya dia boleh berlari dan bersukan dengan lebih baik.

Bagi Omar, mimpi ini mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar mendapatkan anggota badan palsu; dia ingin mendapatkan kembali kemampuannya untuk berlari, menjadi lebih kuat, dan kembali kepada kehidupan yang telah dirampas oleh perang.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Zionis terus membunuh banduan di dalam penjara dan nasib puluhan tahanan masih tidak diketahui

Rabu, 12/08/2026 – Pusat Hal Ehwal Tahanan Palestin menegaskan bahawa Israel terus membunuh tahanan Palestin di dalam penjara, meskipun puluhan tahanan telah meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pusat berkenaan berkata seramai 91 tahanan Palestin yang identitinya telah dikenal pasti telah meninggal dunia akibat tindakan Israel, manakala nasib puluhan tahanan lain dari Semenanjung Gaza masih tidak diketahui. Menurut pusat itu, sebahagian daripada tahanan berkenaan dipercayai telah meninggal dunia dalam beberapa bulan pertama selepas bermulanya perang.

Pusat Pengajian Tahanan Palestin turut menyatakan bahawa identiti dan keadaan kematian tahanan dari Gaza terus diselubungi apa yang disifatkannya sebagai jenayah penghilangan secara paksa. Keadaan ini berlaku ketika berterusannya larangan lawatan terhadap tahanan Palestin sejak Oktober 2023, termasuk lawatan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Tiga syahid dan beberapa individu cedera di Semenanjung Gaza

Rabu, 12/08/2026 – Tiga rakyat Palestin dilaporkan syahid manakala beberapa lagi cedera dalam serangan udara dan bedilan artileri yang dilancarkan oleh tentera Israel di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza pada hari ini. Serangan itu berlaku dalam ketika berterusannya pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

Di utara Gaza, seorang rakyat Palestin, Mahmud Taroush, dilaporkan syahid selepas serangan Israel yang menyasarkan kawasan berhampiran Masjid Hira di Jabalia al-Balad. Tiga individu lain turut mengalami kecederaan dalam serangan tersebut.

Sementara itu, satu lagi serangan berhampiran Jambatan Wadi al-Salqa di kawasan Al-Hakar, selatan Deir al-Balah di tengah Gaza, mengorbankan Ahmad Hisham al-Louh. Beberapa lagi penduduk dilaporkan cedera, termasuk seorang mangsa yang berada dalam keadaan kritikal.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Tentera rejim Zionis Israel mengulangi pelanggaran gencatan senjata di seluruh Gaza.

Selasa, 11/08/2026 – Tentera penceroboh rejim Zionis  Israel telah melakukan pelanggaran gencatan senjata yang diperbaharui di seluruh Semenanjung Gaza pada hari Selasa, dengan melancarkan serangan dan perobohan.

Menurut sumber media, tembakan artileri Israel menyasarkan kawasan selatan Khan Yunis, bersama-sama dengan tembakan dari kapal perang di luar pantai bandar itu. Kereta kebal Israel juga melepaskan tembakan di Khan Yunis, dengan beberapa peluru mengenai khemah keluarga yang kehilangan tempat tinggal berhampiran kawasan an-Namsawi di barat bandar.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Unrwa Beri Amaran Terhadap Rancangan Israel Menutup Dan Merampas Kolej Latihan Qalandia

Selasa, 11/08/2026 – UNRWA memberi amaran bahawa sebarang tindakan pihak berkuasa Israel untuk menutup atau merampas Kolej Latihan Qalandia akan menafikan hak pelarian Palestin untuk menerima pendidikan dan latihan kemahiran yang disediakan agensi itu di bawah mandat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Amaran itu disampaikan dalam satu pertemuan menerusi Zoom bersama Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Tebing Barat, Roland Friedrich, yang diadakan sempena lawatan lapangan anjuran pihak kolej pada Selasa bagi memberi gambaran kepada sekumpulan wartawan mengenai keadaan institusi tersebut serta ancaman berterusan yang dihadapinya daripada pihak Israel.

Friedrich berkata, Kolej Latihan Qalandia merupakan institusi latihan vokasional pertama dan tertua yang ditubuhkan oleh UNRWA lebih 70 tahun lalu. Beliau berkata, kolej itu telah melahirkan ribuan graduan dalam kalangan pelarian Palestin yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor pekerjaan di peringkat tempatan dan serantau.

Menurut beliau, kolej tersebut menerima ratusan pelajar pelarian Palestin dari seluruh Tebing Barat yang diduduki setiap tahun serta menyediakan pendidikan dan latihan vokasional secara percuma, khususnya ketika pelarian berdepan cabaran ekonomi dan sosial yang semakin sukar.

Friedrich menjelaskan bahawa kolej itu telah berdepan ancaman berterusan daripada pihak berkuasa Israel sejak beberapa bulan lalu, termasuk cubaan untuk menutup operasi dan merampas premisnya. Beliau menegaskan bahawa tindakan tentera Israel memasuki kawasan kolej tanpa kebenaran terlebih dahulu merupakan pelanggaran terhadap keistimewaan dan kekebalan yang diberikan kepada PBB serta agensi-agensinya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kolej tersebut telah diserbu sebanyak lima kali sejak awal tahun ini. Serbuan terbaharu berlaku pada 27 Julai lalu apabila tentera Israel menahan kira-kira 80 pelajar dan 45 kakitangan di dalam kawasan kolej serta menghalang mereka daripada keluar tanpa mengemukakan sebarang dokumen atau notis rasmi.

Kolej Latihan Qalandia terletak di utara Baitulmaqdis yang diduduki, bertentangan dengan Kem Pelarian Qalandia.

Pada Oktober 2024, Knesset Israel meluluskan dua undang-undang yang menyasarkan operasi UNRWA. Salah satunya melarang agensi itu beroperasi di kawasan yang disifatkan Israel sebagai berada di bawah “kedaulatannya”, manakala satu lagi mengehadkan hubungan rasmi antara pihak berkuasa Israel dengan UNRWA.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Qatar menyatakan Hamas Mematuhi Perintah Gencatan Senjata.

Selasa, 11/08/2026 – Kementerian Luar Negeri Qatar menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel agar mematuhi komitmen gencatan senjata di Gaza, sambil menegaskan bahawa Hamas telah memenuhi semua kewajipan di bawah pelan tindakan yang dipersetujui.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Doha pada Selasa lalu, jurucakap Kementerian Luar Negeri, Majed al-Ansari, mengesahkan bahawa Hamas telah memenuhi komitmen fasa pertama perjanjian tersebut, termasuk pembebasan tahanan Israel.

Al-Ansari mendakwa Israel mengabaikan kewajipan gencatan senjatanya dengan meneruskan serangan serta menyekat kemasukan bantuan makanan, perubatan, dan tempat perlindungan ke Gaza.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Tentera Israel musnahkan tiga rumah dan struktur pertanian Palestin di Tebing Barat.

Isnin, 03/08/2026 – Tentera Rejim Zionis Israel merobohkan dua buah rumah Palestin di kampung Deir Razih, barat daya al-Khalil di Tebing Barat, pada hari Selasa.

Menurut sumber tempatan, jentolak yang dikawal oleh pasukan Israel telah melakukan perobohan yang menyasarkan rumah Riyad Amro dan rumah Ayman Amro di kampung tersebut. Tentera Israel tidak membenarkan pemiliknya mengeluarkan barang-barang dan perabot mereka dari rumah-rumah sebelum merobohkannya.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Zionis Rampas Tanah Palestin 

Isnin, 03/08/2026 – Tentera penjajah Zionis pada hari Selasa lepas merampas lebih daripada 22 dunum tanah Palestin di bandar Arraba dan Qabatiya, selatan Jenin di utara Tebing Barat.

Menurut sumber tempatan, tiga perintah tentera mengumumkan pengilhakan 16.31 dunum tanah di Arraba, manakala perintah keempat menyasarkan tambahan enam dunum dan 271 meter persegi tanah di Qabatiya.

Semalam, tentera Zionis meningkatkan aktiviti ketenteraannya di bandar-bandar di seluruh wilayah Jenin, yang termasuk perobohan di bandar Arraba dan Anza.

Tentera Zionis telah merampas tanah milik Palestin yang luas di seluruh wilayah Jenin untuk meluaskan penempatan dan membina jalan raya serta infrastruktur untuk pos kawalan peneroka.

Satu laporan baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok menunjukkan bahawa pihak berkuasa penjajah Zionis telah merampas lebih daripada 4,379 dunum tanah Tebing Barat semasa separuh pertama tahun 2026 di bawah pelbagai alasan.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Protes di hadapan Palang Merah di Gaza menyeru tahanan diselamatkan.

Isnin, 03/08/2026 – Berpuluh-puluh keluarga banduan, aktivis hak asasi manusia, dan banduan yang dibebaskan menyertai protes pada hari Isnin di hadapan ibu pejabat Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Gaza, bagi menyokong banduan di penjara pendudukan.

Para peserta mengangkat slogan untuk menyokong para tahanan, menuntut agar masyarakat antarabangsa mengambil tindakan serius bagi menghentikan penderitaan mereka dan berusaha membebaskan mereka secepat mungkin.


Banduan yang dibebaskan, Ahmed Abu Ras, berkata dalam kenyataan akhbar bahawa banduan di penjara pendudukan berhak untuk hidup.

Abu Ras menekankan perlunya masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bagi memaksa pendudukan membebaskan tahanan, pada tahap yang sama seperti ia memberi tekanan kepada penentangan Palestin untuk membebaskan tahanan pendudukan, menyeru agar dasar piawaian berganda ditamatkan.

Beliau menjelaskan bahawa banduan menghadapi penyakit, pengabaian perubatan dan penafian rawatan, selain kebuluran, penindasan, penyeksaan dan semua bentuk hukuman kolektif, dengan menyatakan bahawa pelanggaran ini telah mengakibatkan kematian kira-kira 93 banduan di dalam penjara sejak 7 Oktober 2023.

Menurut data terkini, bilangan banduan di penjara pendudukan sehingga awal Julai mencecah kira-kira 9,400 banduan, termasuk 1,320 tahanan yang diklasifikasikan oleh pendudukan sebagai “pejuang haram”, termasuk pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr. Hossam Abu Safiya, dan kesemua mereka ditahan sewenang-wenangnya tanpa pertuduhan atau perbicaraan yang adil.

Sebaliknya, pendudukan terus menyembunyikan nasib ratusan tahanan dari Semenanjung Gaza, enggan mendedahkan tempat tahanan atau keadaan kesihatan mereka, yang memburukkan lagi kebimbangan terhadap nyawa mereka berdasarkan keterangan yang kerap mendokumentasikan jenayah penyeksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan. Menurut data daripada organisasi dan institusi banduan, pendudukan itu telah membunuh lebih 100 banduan di dalam penjara dan kemnya sejak permulaan pembunuhan beramai-ramai, manakala identiti 90 daripada mereka telah diumumkan.|

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Jenazah 99 rakyat Palestin ditemukan di bawah runtuhan rumah di selatan Bandar Gaza

Isnin, 03/08/2026 – Pasukan penyelamat di Semenanjung Gaza berjaya menemukan jenazah 99 rakyat Palestin pada Isnin dari bawah runtuhan sebuah rumah milik keluarga Abu Sharia dan Al-Hasayna di kawasan kejiranan Sabra, selatan Bandar Gaza. Penemuan itu dibuat susulan operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan dalam keadaan kemanusiaan serta situasi di lapangan yang amat sukar.

Pasukan penyelamat memaklumkan bahawa rumah tersebut telah dibedil dalam beberapa siri serangan udara Israel yang berlaku pada waktu berbeza, termasuk pada 7 Jun 2025 dan satu lagi pada Oktober 2023. Serangan-serangan itu mengorbankan puluhan penduduk, manakala ramai lagi tertimbus di bawah runtuhan.

Menurut mereka, usaha mencari dan mengeluarkan mangsa terus berdepan cabaran besar akibat kemusnahan yang meluas kesan serangan udara, selain kekurangan peralatan, jentera berat dan sumber yang diperlukan untuk mengesan serta mengeluarkan mangsa yang masih hilang.

Mereka turut memaklumkan bahawa ribuan mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah di seluruh Semenanjung Gaza. Pada masa yang sama, banyak lokasi yang menjadi sasaran serangan masih tidak dapat diakses berikutan tahap kemusnahan yang teruk serta keadaan di lapangan yang terus mencabar.

Menurut angka rasmi, kira-kira 8,000 orang masih tertimbus di bawah runtuhan di seluruh Semenanjung Gaza. Pasukan penyelamat terus berusaha mengeluarkan mangsa walaupun berdepan kekangan sumber serta keperluan mendesak terhadap jentera berat dan peralatan khusus.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Basem Naim: Mladenov Memutarbalikkan Fakta

Rabu, 29/07/2026 – Anggota Biro Politik Hamas, Dr. Basem Naim, mengkritik penyebaran dokumen yang dilakukan Koordinator Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), Nikolay Mladenov dalam Proses Perdamaian Timur Tengah,berkait peta jalan pelaksanaan fasa kedua rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza. Menurut Naim, dokumen tersebut sebelumnya telah disampaikan kepada kumpulan-kumpulan Palestin sebagai bahagian dari usaha memberikan tekanan terhadap delegasi perunding.

Dalam wawancara yang dipetik Pejabat Berita Safa pada Sabtu, Basem Naim melihat bahawa proses negosiasi yang serius sepatutnya tidak dilakukan melalui media. Beliau mengatakan bahawa jika Mladenov meyakini penyebaran dokumen tersebut dapat membantu proses negosiasi, maka langkah itu juga berpotensi menciptakan tekanan awam dengan memutarbelitkan kandungan peta jalan, menyimpang dari rancangan awal serta mengabaikan konsekuensi yang dilihat berbahaya.

Naim menegaskan bahawa Hamas tetap memberikan komitmen meneruskan negosiasi dan melaksanakan fasa kedua kesepakatan. Namun begitu menurutnya, implementasi tersebut tidak boleh dilakukan secara sepihak ataupun berdasarkan interpretasi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terhadap kandungan perjanjian.

Beliau menjelaskan bahawa perjanjian tersebut mencakup fasa pertama yang berfokus pada aspek kemanusiaan. Menurutnya, pihak pejuang telah memenuhi seluruh kewajiban dalam fasa tersebut, sementara Israel sebagai penjajah, terus melakukan pelanggaran setiap hari dengan kekerapan lebih dari 13 kali dalam sehari.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Hamas Puji Operasi Nablus, Tebing Barat

Rabu, 29/07/2026 – Pergerakan Hamas memuji operasi menikam di timur Nablus, yang menyebabkan seorang peneroka cedera pada hari Khamis, dengan mengatakan ia adalah tindak balas langsung terhadap usaha penjajah haram Zionis dalam pencerobohannya di seluruh Palestin.

Menyifatkan insiden itu sebagai “wira”, Hamas berkata operasi itu juga dilakukan sebagai tindak balas terhadap penodaan Masjidil Aqsa hari ini dan keganasan peneroka di timur Nablus.

Hamas memuji penentangan Palestin di Tebing Barat kerana terus mencabar penjajahan Zionis, menghadapi serangan peneroka, dan membalas dendam terhadap para syuhada.

Dua pemuda Palestin ditembak mati oleh tentera Zionis di Beit Furik selepas mereka didakwa menikam dan mencederakan seorang peneroka Yahudi di timur Nablus.

Penterjemah : Ameen