Categories
Berita Semasa

Gaza: Hospital Berdepan Keruntuhan Bekalan Oksigen yang Hampir Berlaku

Rabu, 19/08/2026 – (PIC)Kementerian Kesihatan telah memberi amaran tentang akibat buruk yang bakal berlaku apabila kebanyakan stesen penjanaan oksigen di hospital-hospital Gaza telah berhenti beroperasi akibat larangan berterusan Israel terhadap kemasukan alat ganti dan bekalan penyelenggaraan yang diperlukan untuk mengendalikannya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kekurangan oksigen yang teruk kini melumpuhkan operasi hospital yang masih tinggal, sekaligus meletakkan berpuluh-puluh pesakit kritikal dan yang cedera, terutamanya mereka di unit rawatan rapi dan unit pernafasan, dalam risiko kematian segera.

“Kekurangan akut sokongan pernafasan telah menjejaskan 72 unit rawatan rapi, 54 unit penjagaan bayi baru lahir dan bayi pramatang, serta 19 unit rawatan rapi pediatrik,” kata kementerian itu.

Kementerian itu menggesa masyarakat antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia untuk menekan Israel supaya membuka pintu sempadan dan membenarkan kemasukan segera alat ganti dan peralatan penting yang diperlukan untuk mengekalkan operasi hospital.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

19 Bandar Seluruh Dunia Bakal Berhimpun Desak Kepungan Gaza Ditamatkan

Rabu, 19/08/2026 – 19 bandar di seluruh dunia, termasuk Istanbul, sedang membuat persiapan untuk mengadakan perhimpunan serentak pada Rabu depan, sempena Hari Kemanusiaan Sedunia, bagi mendesak kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza di tengah-tengah kepungan dan sekatan berterusan oleh Israel ke atas wilayah berkenaan.

Pengerusi Platform Sokongan Palestin, Osman Nuri Kabaktepe, pada hari Isnin berkata dalam satu persidangan media yang dianjurkan oleh pertubuhan masyarakat sivil Turkiye di Istanbul perhimpunan berkenaan akan diadakan secara serentak di 19 bandar, bertujuan menyuarakan desakan bagi menjamin akses kepada makanan, ubat-ubatan, tempat perlindungan dan perkhidmatan kesihatan untuk penduduk Gaza.

Beliau berkata perhimpunan di Istanbul akan diadakan di Dataran Üsküdar di bahagian Asia bandar berkenaan pada 6.30 petang waktu tempatan (3.30 petang GMT).

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Pusat Gaza: Pernyataan Ben-Gvir Menunjukkan Niat Mengusir dan Memusnahkan Warga Palestin

Rabu, 19/08/2026 – Pusat Hak Asasi Manusia Gaza mengecam keras pernyataan berulang yang disampaikan Menteri Keamanan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir. Pernyataan tersebut dilihat mengungkapkan niat eksplisit dan terbuka untuk mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza serta menerapkan tindakan genosid terhadap mereka.

Hal ini berlaku ketika serangan militer Israel terhadap Semenanjung Gaza memasuki hari ke-1044 sejak 7 Oktober 2023. Konflik tersebut telah mengakibatkan puluhan ribu kematian, ratusan ribu orang tercedera, serta kehancuran luas yang kelihatan pada hampir seluruh infrastruktur awam.

Dalam pernyataan yang dikeluarkan pada Ahad, pusat tersebut mengecam keras komentar Ben-Gvir dalam sebuah wawancara di podcast pada 8 Ogos. Dalam wawancara tersebut, beliau menyeru serangan udara Israel setiap malam ke Semenanjung Gaza, dengan menegaskan bahawa Israel dapat “melenyapkan 30, 40 atau 50 teroris” setiap malam.

Ben-Gvir juga menyatakan bahawa penduduk Gaza “tidak perlu hidup” dan “bukan manusia”, seraya menambah bahawa dia telah berbuat baik dengan menyebut mereka sebagai manusia. Ben-Gvir juga menuntut penjajahan seluruh wilayah Gaza, pengusiran penduduknya dan pengeboman Beirut.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Para ibu-ibu merangka penyelesaian mudah untuk menghadapi musim panas di khemah-khemah Gaza

Rabu, 19/08/2026 – Di Gaza, penderitaan ibu-ibu yang tinggal di khemah perlindungan bermula seawal pagi apabila bahang matahari mula menyerap masuk melalui fabrik khemah. Suhu yang semakin meningkat serta pengudaraan yang terhad menyebabkan keadaan menjadi semakin sesak dan tidak selesa, terutama bagi kanak-kanak. Kehadiran lalat dan serangga turut menambah kesukaran kepada keluarga yang terpaksa bertahan dalam keadaan serba kekurangan.

Dengan cuaca panas yang semakin terik, khemah berubah menjadi ruang yang amat bahang dan sukar didiami. Para ibu terpaksa mencari pelbagai penyelesaian menggunakan bahan yang ada di sekeliling, bukan untuk mendapatkan keselesaan, tetapi sekadar memastikan anak-anak mereka mempunyai ruang untuk tidur dan berehat terlindung daripada pancaran matahari.

Bagi ibu-ibu berkenaan, waktu siang terasa panjang ketika mereka berada di dalam khemah, khususnya apabila suhu meningkat dan pergerakan udara semakin terbatas.

Tanpa kemudahan penyejukan atau bahan penebat yang sesuai, kebanyakan keluarga terpaksa menggunakan apa sahaja yang tersedia, termasuk kayu, kain penutup dan plastik. Mereka turut membuka bahagian sisi khemah serta membina teduhan tambahan di sekelilingnya dalam usaha mengurangkan bahang dan memberi sedikit perlindungan kepada anak-anak daripada cuaca panas.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Dakwaan Israel tentang pelanggaran gencatan senjata adalah propaganda Rejim Zionis

Rabu, 19/08/2026 – Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata dakwaan Israel bahawa Pergerakan itu telah melanggar perjanjian gencatan senjata dan menyambung semula aktiviti ketenteraan adalah sebahagian daripada kempen propaganda Israel yang bertujuan untuk mewajarkan pelanggaran perjanjian oleh Israel sendiri dan menghasut terhadap Hamas.

Dalam satu kenyataan akhbar, Qassem mengulangi komitmen Hamas terhadap perjanjian gencatan senjata dan pelan tindakan tersebut.

Beliau menyeru semua pihak untuk memaksa Israel melaksanakan apa yang telah dipersetujui dan memenuhi komitmennya.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Zionis Usir Keluarga Palestin

Selasa, 18/08/2026 – Pasukan Zionis (IOF) telah mengambil alih tiga buah rumah bertingkat yang baru dibina di kampung Jalud, selatan Nablus di utara Tebing Barat, selepas mengusir penduduk mereka dengan senjata.

Sumber tempatan berkata pasukan Zionis menyerbu kampung Jalud dan mengubah tiga buah rumah menjadi pos tentera dan menara pengawal selepas memaksa keluarga Palestin meninggalkan kediaman mereka.

Serangan Zionis dan serangan peneroka haram semakin meningkat di selatan Nablus, di mana askar baru-baru ini telah merampas beberapa rumah Palestin sebagai pos tentera.

Di pekan Kafr Sur, selatan Tulkarem, tentera Zionis hari ini telah menyampaikan notis perobohan untuk rumah dan struktur pertanian Palestin.

Menurut sumber tempatan, notis perobohan itu menyasarkan sebuah bangunan pangsapuri lima tingkat, dua pangsapuri, empat rumah yang didiami, sebuah rumah yang belum siap dan sebuah ladang di bandar itu.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Mesir Desak Penarikan Tentera Israel dari Gaza dan Laksana Tahap Kedua Kesepakatan

Selasa, 18/08/2026 – Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty pada Ahad lalu menyeru penyelesaian penarikan tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan pelaksanaan seluruh kewajiban yang telah disepakati.

Seruan Abdelatty disampaikan setelah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak rancangan Dewan Perdamaian berkait Gaza.

Menurut pernyataan Kementerian Luar Negeri Mesir, Abdelatty menyampaikan seruan tersebut melalui telefon dengan pegawai Dewan Perdamaian, Nickolay Mladenov.

Abdelatty dan Mladenov membincangkan perkembangan terbaru di Semenanjung Gaza serta usaha untuk menyiapkan pelaksanaan rancangan Presiden AS Donald Trump dan peta jalan untuk memenuhi syarat rancangan perdamaian Gaza.

Abdelatty menekankan pentingnya mematuhi seluruh kewajiban yang telah disepakati, termasuk menjamin akses bantuan kemanusiaan yang penuh, aman dan berterusan. Beliau juga menyeru penyelesaian penarikan pasukan Israel dari Semenanjung Gaza.

Menurutnya, langkah-langkah tersebut akan membuka jalan menuju tahap kedua dan mendukung usaha pemulihan serta rekonstruksi awal.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Euro-Med menolak naratif Israel mengenai kebuluran di Gaza

Selasa, 18/08/2026 – Euro-Med Human Rights Monitor berkata Israel terus memutarbelitkan fakta dalam usaha untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap kebuluran yang dialami orang awam di Semenanjung Gaza. Israel secara terpilih dan mengelirukan menggunakan data yang diterbitkan oleh Kluster Pemakanan UNICEF pada tahun 2026 untuk menafikan petunjuk kebuluran yang dikenal pasti oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) pada tahun 2025.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Euro-Med Monitor berkata angka 0.5% yang diketengahkan oleh Israel adalah berdasarkan secara eksklusif kepada petunjuk “berat mengikut ketinggian” (weight-for-height) yang digunakan untuk mengukur malnutrisi akut, sambil mengetepikan petunjuk lain yang lebih menyeluruh. Data berdasarkan ukur lilit pertengahan lengan atas (MUAC) menunjukkan kadar sebanyak 1.3%, iaitu kadar yang sama diperoleh apabila kedua-dua petunjuk tersebut digabungkan. Menurut organisasi itu, perkara ini mencerminkan percubaan yang disengajakan untuk mengaburkan keseluruhan dapatan dan mengetengahkan angka terendah sebagai hasil muktamad kajian tersebut.

Organisasi itu menjelaskan bahawa angka 1.3% tersebut secara efektif bermaksud bahawa seorang daripada setiap 77 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami malnutrisi akut dalam tempoh yang diliputi oleh kajian berkenaan. Ia menegaskan bahawa data tersebut hanya mencerminkan tempoh yang terhad dan tidak merangkumi kes yang berlaku sebelum atau selepas kajian, mahupun kanak-kanak yang mengalami episod malnutrisi berulang.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Kanak-kanak amputasi di Gaza membina semula impian mereka dengan bola kecil

Rabu, 12/08/2026 – Di sebuah taman permainan kecil di Bandar Gaza, yang hampir tidak cukup besar untuk sekumpulan kanak-kanak berkongsi bola dan peralatan sukan yang terhad, kanak-kanak Palestin yang kehilangan anggota badan semasa pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza cuba menuntut semula sebahagian daripada zaman kanak-kanak mereka yang dirampas daripada perang.

Dengan sumber yang sederhana, ruang sukan yang ringkas itu diubah menjadi tempat untuk ketawa, pergerakan, dan latihan. Bola sepak menjadi cara untuk kanak-kanak ini mengatasi kesakitan amputasi dan kenangan pengeboman buat seketika, dan untuk mendapatkan semula keyakinan diri dan keupayaan mereka untuk berlatih sukan dan hidup semula.

Akademi Bola Sepak “Heel” untuk Orang Kurang Upaya menganjurkan latihan khusus untuk kanak-kanak yang anggota badannya dipotong, dengan penyertaan jurulatih yang berusaha untuk pemulihan atletik dan psikologi mereka, dalam program latihan selama enam bulan, dengan tujuan membentuk pasukan sukan yang mampu menyertai pertandingan di peringkat Palestin pada masa hadapan, dan kemudian di peringkat Arab dan antarabangsa.

Jurulatih Shaimaa Felfel berkata bahawa kategori ini telah menjadi berleluasa di Semenanjung Gaza akibat ramai kanak-kanak yang kehilangan anggota badan semasa perang, dengan menyatakan bahawa latihan itu menyasarkan kanak-kanak yang anggota badannya dipotong, sama ada di kaki atau tangan.

Felfel menjelaskan bahawa kekurangan peralatan sukan merupakan salah satu cabaran paling ketara yang dihadapi dalam latihan, sehingga ketiadaan bola sepak menyebabkan penangguhan beberapa sesi latihan, sebelum bilangan yang terhad disediakan.

Beliau menekankan bahawa sukan bukan terhad kepada hiburan, tetapi juga membantu kanak-kanak melegakan tekanan psikologi, membina kecergasan fizikal, meningkatkan keyakinan diri, memperhalusi keperibadian dan memberi kanak-kanak rasa keupayaan mereka untuk menjadi ahli masyarakat yang aktif walaupun kehilangan salah satu anggota badan mereka.

Di padang, Nour Al-Ashqar bergerak dengan sebelah kaki, tetapi langkahnya membawa keazaman yang melangkaui batasan ruang. Dia datang ke latihan untuk bermain dan melepaskan ketakutan dan kesakitan yang terkumpul dalam dirinya, cuba menuntut semula sebahagian daripada apa yang telah hilang dari hidupnya.

Nour menceritakan bahawa kecederaannya berlaku pada 30 Jun 2024, semasa mengumpul kayu api bersama bapanya, apabila dia kehilangan kakinya, sebelum memulakan perjalanan baharu bersama keluarganya yang melibatkan amputasi dan kehidupan berbeza yang dikenakan oleh perang.

Dia mengatakan bahawa walaupun kehilangan kakinya, dia tidak berputus asa dengan permainan yang dicintainya, tetapi secara beransur-ansur kembali bermain bola sepak dan berlatih, menekankan bahawa kehilangan kaki tidak bermakna pengakhiran hidup, dan dia ingin membina masa depan baharu meskipun banyak impiannya musnah.

Nour tidak menyembunyikan sejauh mana kehilangannya dalam perang; dia kehilangan اbanyak perkara yang diimpikannya, dan bermain bola sepak dengan cara yang biasa dilakukannya, tetapi dia terus berlatih, dan cuba menguatkan badannya dan keupayaannya untuk bergerak, kerana impiannya belum berakhir.

Kanak-kanak Omar Halawa menyertai latihan dengan keazaman yang jelas, memanfaatkan taman permainan kecil itu sebagai ruang untuk keluar dari pengasingannya dan mendapatkan semula keupayaannya untuk bermain dan bergerak.

Omar bercakap tentang saat hidupnya berubah, apabila sekolah tempat dia belajar dibom, dia kehilangan ahli keluarganya dan dia cedera, sebelum mendapati dirinya berada di hospital kerana kehilangan salah satu kakinya.

Dari runtuhan saat yang sukar itu, Omar hari ini cuba mencipta suasana yang berbeza: bola di antara kakinya, jurulatih di sisinya, kanak-kanak bermain dengannya, dan ketawa yang cuba mengatasi ingatan pengeboman itu.

Omar berkata dia datang berlatih untuk bermain, berseronok, dan melepaskan diri daripada kesusahan yang dialaminya. Dia bermimpi untuk melancong ke luar Semenanjung Gaza untuk mendapatkan anggota badan palsu supaya dia boleh berlari dan bersukan dengan lebih baik.

Bagi Omar, mimpi ini mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar mendapatkan anggota badan palsu; dia ingin mendapatkan kembali kemampuannya untuk berlari, menjadi lebih kuat, dan kembali kepada kehidupan yang telah dirampas oleh perang.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Zionis terus membunuh banduan di dalam penjara dan nasib puluhan tahanan masih tidak diketahui

Rabu, 12/08/2026 – Pusat Hal Ehwal Tahanan Palestin menegaskan bahawa Israel terus membunuh tahanan Palestin di dalam penjara, meskipun puluhan tahanan telah meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pusat berkenaan berkata seramai 91 tahanan Palestin yang identitinya telah dikenal pasti telah meninggal dunia akibat tindakan Israel, manakala nasib puluhan tahanan lain dari Semenanjung Gaza masih tidak diketahui. Menurut pusat itu, sebahagian daripada tahanan berkenaan dipercayai telah meninggal dunia dalam beberapa bulan pertama selepas bermulanya perang.

Pusat Pengajian Tahanan Palestin turut menyatakan bahawa identiti dan keadaan kematian tahanan dari Gaza terus diselubungi apa yang disifatkannya sebagai jenayah penghilangan secara paksa. Keadaan ini berlaku ketika berterusannya larangan lawatan terhadap tahanan Palestin sejak Oktober 2023, termasuk lawatan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Tiga syahid dan beberapa individu cedera di Semenanjung Gaza

Rabu, 12/08/2026 – Tiga rakyat Palestin dilaporkan syahid manakala beberapa lagi cedera dalam serangan udara dan bedilan artileri yang dilancarkan oleh tentera Israel di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza pada hari ini. Serangan itu berlaku dalam ketika berterusannya pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

Di utara Gaza, seorang rakyat Palestin, Mahmud Taroush, dilaporkan syahid selepas serangan Israel yang menyasarkan kawasan berhampiran Masjid Hira di Jabalia al-Balad. Tiga individu lain turut mengalami kecederaan dalam serangan tersebut.

Sementara itu, satu lagi serangan berhampiran Jambatan Wadi al-Salqa di kawasan Al-Hakar, selatan Deir al-Balah di tengah Gaza, mengorbankan Ahmad Hisham al-Louh. Beberapa lagi penduduk dilaporkan cedera, termasuk seorang mangsa yang berada dalam keadaan kritikal.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Tentera rejim Zionis Israel mengulangi pelanggaran gencatan senjata di seluruh Gaza.

Selasa, 11/08/2026 – Tentera penceroboh rejim Zionis  Israel telah melakukan pelanggaran gencatan senjata yang diperbaharui di seluruh Semenanjung Gaza pada hari Selasa, dengan melancarkan serangan dan perobohan.

Menurut sumber media, tembakan artileri Israel menyasarkan kawasan selatan Khan Yunis, bersama-sama dengan tembakan dari kapal perang di luar pantai bandar itu. Kereta kebal Israel juga melepaskan tembakan di Khan Yunis, dengan beberapa peluru mengenai khemah keluarga yang kehilangan tempat tinggal berhampiran kawasan an-Namsawi di barat bandar.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Unrwa Beri Amaran Terhadap Rancangan Israel Menutup Dan Merampas Kolej Latihan Qalandia

Selasa, 11/08/2026 – UNRWA memberi amaran bahawa sebarang tindakan pihak berkuasa Israel untuk menutup atau merampas Kolej Latihan Qalandia akan menafikan hak pelarian Palestin untuk menerima pendidikan dan latihan kemahiran yang disediakan agensi itu di bawah mandat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Amaran itu disampaikan dalam satu pertemuan menerusi Zoom bersama Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Tebing Barat, Roland Friedrich, yang diadakan sempena lawatan lapangan anjuran pihak kolej pada Selasa bagi memberi gambaran kepada sekumpulan wartawan mengenai keadaan institusi tersebut serta ancaman berterusan yang dihadapinya daripada pihak Israel.

Friedrich berkata, Kolej Latihan Qalandia merupakan institusi latihan vokasional pertama dan tertua yang ditubuhkan oleh UNRWA lebih 70 tahun lalu. Beliau berkata, kolej itu telah melahirkan ribuan graduan dalam kalangan pelarian Palestin yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor pekerjaan di peringkat tempatan dan serantau.

Menurut beliau, kolej tersebut menerima ratusan pelajar pelarian Palestin dari seluruh Tebing Barat yang diduduki setiap tahun serta menyediakan pendidikan dan latihan vokasional secara percuma, khususnya ketika pelarian berdepan cabaran ekonomi dan sosial yang semakin sukar.

Friedrich menjelaskan bahawa kolej itu telah berdepan ancaman berterusan daripada pihak berkuasa Israel sejak beberapa bulan lalu, termasuk cubaan untuk menutup operasi dan merampas premisnya. Beliau menegaskan bahawa tindakan tentera Israel memasuki kawasan kolej tanpa kebenaran terlebih dahulu merupakan pelanggaran terhadap keistimewaan dan kekebalan yang diberikan kepada PBB serta agensi-agensinya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kolej tersebut telah diserbu sebanyak lima kali sejak awal tahun ini. Serbuan terbaharu berlaku pada 27 Julai lalu apabila tentera Israel menahan kira-kira 80 pelajar dan 45 kakitangan di dalam kawasan kolej serta menghalang mereka daripada keluar tanpa mengemukakan sebarang dokumen atau notis rasmi.

Kolej Latihan Qalandia terletak di utara Baitulmaqdis yang diduduki, bertentangan dengan Kem Pelarian Qalandia.

Pada Oktober 2024, Knesset Israel meluluskan dua undang-undang yang menyasarkan operasi UNRWA. Salah satunya melarang agensi itu beroperasi di kawasan yang disifatkan Israel sebagai berada di bawah “kedaulatannya”, manakala satu lagi mengehadkan hubungan rasmi antara pihak berkuasa Israel dengan UNRWA.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Qatar menyatakan Hamas Mematuhi Perintah Gencatan Senjata.

Selasa, 11/08/2026 – Kementerian Luar Negeri Qatar menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel agar mematuhi komitmen gencatan senjata di Gaza, sambil menegaskan bahawa Hamas telah memenuhi semua kewajipan di bawah pelan tindakan yang dipersetujui.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Doha pada Selasa lalu, jurucakap Kementerian Luar Negeri, Majed al-Ansari, mengesahkan bahawa Hamas telah memenuhi komitmen fasa pertama perjanjian tersebut, termasuk pembebasan tahanan Israel.

Al-Ansari mendakwa Israel mengabaikan kewajipan gencatan senjatanya dengan meneruskan serangan serta menyekat kemasukan bantuan makanan, perubatan, dan tempat perlindungan ke Gaza.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Tentera Israel musnahkan tiga rumah dan struktur pertanian Palestin di Tebing Barat.

Isnin, 03/08/2026 – Tentera Rejim Zionis Israel merobohkan dua buah rumah Palestin di kampung Deir Razih, barat daya al-Khalil di Tebing Barat, pada hari Selasa.

Menurut sumber tempatan, jentolak yang dikawal oleh pasukan Israel telah melakukan perobohan yang menyasarkan rumah Riyad Amro dan rumah Ayman Amro di kampung tersebut. Tentera Israel tidak membenarkan pemiliknya mengeluarkan barang-barang dan perabot mereka dari rumah-rumah sebelum merobohkannya.

Penterjemah : Hairul