
Selasa, 07/07/2026 – Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, berkata delegasi pergerakan itu meneruskan pertemuan dengan pihak pengantara di Kaherah bagi hari ketiga berturut-turut untuk membincangkan mekanisme pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza serta langkah ke arah fasa kedua perjanjian tersebut.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen pada Khamis, Qassem menjelaskan bahawa rundingan tertumpu kepada penyempurnaan baki perkara yang masih belum dilaksanakan dalam fasa pertama perjanjian, selain membincangkan pendekatan praktikal bagi memulakan fasa kedua. Menurut beliau, usaha sedang dilakukan untuk merangka mekanisme yang berkesan bagi mempercepat pelaksanaan perjanjian itu.
Qassem menegaskan bahawa Hamas meneliti semua cadangan dengan penuh “kesungguhan dan tanggungjawab”, sambil meletakkan kepentingan rakyat Palestin sebagai keutamaan, khususnya dalam usaha menamatkan peperangan di Gaza dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berkesan.
Beliau turut menggesa semua pihak yang terlibat agar mengambil langkah serius untuk melaksanakan perjanjian tersebut serta memberi tekanan kepada Israel supaya mematuhi semua syarat yang telah dipersetujui.
Qassem juga menekankan keperluan untuk segera mengaktifkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Semenanjung Gaza, yang menurutnya dapat membantu menangani keadaan semasa di wilayah itu serta menyokong kejayaan pelaksanaan gencatan senjata.
Delegasi Hamas yang diketuai oleh Zaher Jabarin, pemimpin pergerakan itu di Tebing Barat yang diduduki, tiba di Kaherah dua hari lalu untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir dan pihak pengantara mengenai penyempurnaan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
Perbincangan tersebut merangkumi usaha memastikan Israel mematuhi komitmennya untuk membenarkan bekalan keperluan asas memasuki Gaza, termasuk bahan yang diperlukan bagi membaik pulih hospital, kedai roti, dan infrastruktur kritikal lain, selain melaksanakan baki perkara yang masih tertangguh dalam perjanjian berkenaan.
Rundingan itu turut membincangkan pelan tindakan yang disediakan oleh Nikolay Mladenov dengan kerjasama pihak pengantara bagi fasa kedua perjanjian. Pelan tersebut merangkumi pengaktifan jawatankuasa pentadbiran serta pasukan perlindungan antarabangsa, yang seterusnya membawa kepada pengunduran penuh tentera Israel dari Semenanjung Gaza.
Pada 13 Jun, Hamas telah menyerahkan maklum balas daripada pelbagai fraksi Palestin terhadap cadangan pelan tindakan yang diterima pada 19 April. Dalam respons itu, Hamas menegaskan keperluan untuk melaksanakan sepenuhnya fasa pertama perjanjian, khususnya protokol kemanusiaan serta penghentian sepenuhnya serangan Israel ke atas Gaza.
Sepanjang bulan Jun, Kaherah menjadi tuan rumah kepada beberapa siri pertemuan yang melibatkan Hamas, kumpulan-kumpulan Palestin lain dan pihak pengantara. Pertemuan tersebut berjaya menghasilkan pendirian bersama dalam kalangan pihak Palestin. Pusingan rundingan semasa pula memberi tumpuan kepada langkah-langkah praktikal untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata, menyempurnakan fasa pertama, menghentikan serangan dan pembunuhan bersasar oleh Israel, membuka semula pintu sempadan, serta memulakan operasi Jawatankuasa Kebangsaan bagi pentadbiran Gaza.
Penterjemah : Ezatul











