
Isnin, 16/11/2026 – Suruhanjaya Menentang Tembok dan Penempatan (Colonization & Wall Resistance Commission, CWRC) mendedahkan pada hari Khamis bahawa pihak berkuasa penjajah Israel telah mengeluarkan perintah ketenteraan yang mengarahkan pembuangan pokok badam dan tumbuh-tumbuhan dari tanah di bandar Dura dan Tarqumiya, wilayah Hebron.
Perintah ini melibatkan keluasan tanah berjumlah 3.8 hektar, dengan panjang menjangkau 7,558 meter. Ditegaskan sebagai satu tindakan yang mengancam tanah pertanian serta litupan tumbuhan tempatan oleh kumpulan itu. Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya tersebut menjelaskan bahawa perintah ketenteraan itu bernombor 139/26 dan ditandatangani oleh komander pasukan penjajah pada 28 Oktober.
Ianya menyasarkan tanah di beberapa lokasi dalam bandar Dura, termasuk Taras, Wadi Khuzaim, Khirbet Deir Samit, Khirbet Sabr, Jabal al-Sa’di, dan Khirbet al-Deir, di samping tanah di bandar Tarqumiya.
Menurut Suruhanjaya tersebut, keputusan itu mewajibkan pemilik tanah atau pihak yang menguruskan tanah berkenaan untuk menyingkirkan pokok dan tumbuh-tumbuhan dalam tempoh tujuh hari selepas pemeriksaan lapangan yang dijadualkan oleh pihak berkuasa penjajah.
Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, pihak yang diberi kuasa oleh komander tentera dibenarkan untuk melaksanakan sendiri penyingkiran tersebut. Pemilik tanah juga diberikan tempoh tidak melebihi tujuh hari bermula dari tarikh pemeriksaan lapangan untuk mengemukakan bantahan. Suruhanjaya itu memberi amaran mengenai kesan buruk keputusan ini terhadap sektor pertanian, alam sekitar, dan ekonomi.
Ia menegaskan bahawa tindakan menyasarkan pokok badam dan tumbuh-tumbuhan di sepanjang kawasan yang melebihi 7.5 kilometer bukan sekadar memusnahkan tanaman; malah ia mengancam nilai produktif dan alam sekitar tanah tersebut, serta menjejaskan hubungan antara petani dengan tanah mereka dan sumber mata pencarian mereka.
Penterjemah : Halimah












