
oleh : Maszlee Malik
Nombor-nombor berikut bukanlah nombor ekor yang memenangi hadiah pertama cabutan empat nombor ekor Magnum. Ianya merupakan dua resolusi PBB yang telah digunakan oleh rejim Zionis Israel sebagai alasan untuk menyerang Lubnan. Kematian sehingga kini lebih 600 masyarakat awam Lubnan, termasuk yang terkini lebih 60 orang di Qana, adalah semata-mata untuk menyokong kedua-dua resolusi tersebut. Ribuan yang cedera, mankala lebih 700,000 kehilangan tempat tinggal kerana serangan-serangan ganas Zionis juga adalah bersandarkan kepada kedua-dua resolusi berkenaan. Lubnan digempur dan dikepung darat, laut dan udara. Bekalan air dan elektrik terputus sama sekali. Pangkalan tentera Lubnan di Qolelaat, Hermel, Buda, Rayak, Jiyeh , Doueir, Baflay, Zibquin dan Naqura telah diserangkan oleh pesawat tentera Israel dari 12 Julai hingga 18 Julai 2006. Pada 15 Julai , 18 orang biasa Lubnan mati terbakar , ditembak oleh helikopter Israel . Mereka dalam perjalanan berkonvoi di stesen minyak. 18 jambatan dan jejantas musnah. Persimpangan dan lebuh raya di Beirut turut diserang. Stesen pemancar telefon mudah alih di timur Lubnan , Loji kuasa Jiyyeh, tangki bahan bakar di Lapangan Terbang Rafiq Hariri di Beirut. Kerugian lebih 25 juta AS. Kesemuanya berasalankan resolusi-resolusi tersebut.
Apakah kandungan sebenarnya resolusi 1559 dan 1680?