Rabu, 26-06-2024 – Kumpulan Permerhati hak Asasi Manusia Euro-Med melaporkan tentera rejim Zionis Israel telah memusnahkan lebih 75% tanah pertanian di Semenanjung Gaza dengan pemusnahan besar-besaran atau dengan memunggah dengan jentolak.
Dalam laporan Ahad lepas, Euro-Med menuduh tentera rejim Zionis Israel memusnahkan sumber makanan sama ada sayur-sayuran, buah-buahan atau daging, serta memusnahkan bahagian berkaitan dengan pengeluaran tanaman.
Euro-Med juga menuduh tentera rejim Zionis menghalang kemasukan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan sebagai memastikan kebuluran berterusan di semenanjung Gaza di samping menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Hairul Ahmad
Rabu, 26-06-2024 – Sejumlah rakyat Palestin dilaporkan cedera pada hari Rabu dalam konfrontasi dengan pasukan rejim Israel (IOF) di seluruh Tebing Barat.
Di wilayah Nablus, sumber tempatan melaporkan bahawa dua warga cedera oleh peluru hidup rejim itu dan yang lain mengalami sesak nafas dalam pertempuran yang meletus di bandar Beit Furik.
Manakala seorang kanak-kanak dari bandar Nablus ditangkap oleh pihak rejim, sumber itu turut menambah.
Di wilayah Jenin, seorang kanak-kanak cedera terkena serpihan di tangannya, dan seorang lelaki muda telah dikepung oleh rejim yang menyerbu rumahnya di bandar Yamoun. Tentera Israel turut masuk ke bandar Ya’bad, tanpa sebarang tangkapan dilaporkan.
Sementara itu, rejim turut menyerang Baitullaham dan menutup pintu masuk ke rumah warga di Bandar Al-Manshiya, selain jalan yang menuju ke Khallet Al-Haddad, di selatan bandar.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Suwaibah
Khamis , 20-06-2024 – Empat pemuda dilaporkan syahid pada petang Isnin, ketika tentera penjajah melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka berhampiran bandar Kafr Ni’mah, barat Ramallah.
Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Awam memaklumkan Kementerian Kesihatan Palestin bahawa 4 rakyatnya terbunuh oleh serangan penjajah di bandar Kafr Ni’mah, di mana tentera penjajah turut cuba menahan mayat mereka.
Suruhanjaya menyenaraikan nama 3 syuhada antaranya: Muhammad Raslan Abdo, Muhammad Jaber Abdo, dan Rushdi Samih Ataya, manakala identiti syuhada keempat masih tidak diketahui.
Menurut sumber tempatan, memetik dari saksi kejadian berkata bahawa pasukan khas dari tentera penjajah melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan berhampiran bandar Kafr Ni’mah, mencederakan dan membunuh sejumlah warga di dalamnya.
Tambah sumber itu lagi, pasukan penjajah telah menghalang kru ambulans daripada mendekati mangsa yang cedera parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan ke arah mereka.
Dalam kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pula, mereka melaporkan telah menerima panggilan kecemasan mengenai tiga kecederaan akibat serangan tentera penjajah yang menembak sebuah kenderaan berhampiran Kafr Ni’mah.
Pasukan penjajah kemudiannya menyerbu bandar Kafr Ni’mah selepas menembak kenderaan itu, yang membawa kepada tercetusnya konfrontasi, sekaligus mengakibatkan sejumlah mangsa terpaksa dipindahkan ke Kompleks Perubatan Palestin di Ramallah. Dalam serangan yang lain, pasukan penjajah juga meletupkan sebuah kenderaan di bandar.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan ringkas, melaporkan, ketibaan 8 mangsa, terdiri daripada kecederaan ringan hingga sederhana akibat terkena peluru ke Kompleks Perubatan Palestin dari bandar Kafr Ni’mah.
Dalam perkembangan lain, pasukan kebangsaan dan Islam di Ramallah dan Al-Bireh mengumumkan mogok umum dan menyeluruh untuk semua aspek kehidupan esok, Selasa, sebagai protes terhadap jenayah dan pembunuhan empat syuhada, serta kecederaan yang dialami warga bandar Kafr Ni’mah.
Dalam satu kenyataan yang dicapai oleh Pusat Informasi Palestin, tentera menyeru Pusat Informasi Palestin untuk mengambil bahagian dalam acara awam yang akan bermula esok, Selasa, jam 11 pagi di halaman Pusat Kebudayaan Al-Bireh, sebagai protes terhadap pembunuhan itu sekaligus menyokong para tawanan serta msyarakat di Gaza.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi
Khamis , 20-06-2024 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) telah mengesahkan bahawa jeti terapung yang dibina oleh Amerika Syarikat, yang berlabuh di pantai di Gaza, tidak berkesan dalam mengurangkan situasi bencana kemanusiaan di wilayah pantai yang dilanda perang itu, dan menyifatkannya sebagai “tidak berguna”.
“Berikutan pengumuman Program Makanan Sedunia untuk menghentikan kemasukan bantuan ke Gaza melalui jeti terapung Amerika kerana ancaman keselamatan, kami sekali lagi mengesahkan platform ini adalah sia-sia,” kata ketua GMO Salama Maarouf dalam satu kenyataan pada Isnin lalu.
“Sejak dirasmikan satu setengah bulan lalu, kami dapati jeti itu tidak memberi sumbangan serius untuk mengurangkan situasi bencana kemanusiaan di Semenanjung Gaza. Bilangan trak yang sangat terhad, hanya 130 trak telah menggunakannya sejak ia dirasmikan,” tambah Maarouf.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Dr Nurul
Khamis , 20-06-2024 – Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin cedera dalam serangan peneroka haram Yahudi di bandar Urif di Selatan Nablus, pada petang Ahad. Sumber tempatan melaporkan sekumpulan peneroka haram Yahudi melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah milik warga Palestin Issam Safadi berhampiran sekolah menengah Uriff, mencederakan seorang kanak-kanak dan seorang pemuda sebelum membakar sebuah kereta. Beberapa rakyat Palestin turut cedera ketika menghadapi tentera zionis Israel yang datang melindungi peneroka haram.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Hairul Ahmad
Selasa, 11-06-2024 – Sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, berkata bahawa tiga tawanan Israel meninggal dunia semasa pembunuhan beramai-ramai oleh Israel pada hari Sabtu, di kem Nuseirat di pusat Semenanjung Gaza.
Briged itu mengeluarkan video yang menunjukkan tiga mayat dengan bar sensur di wajah mereka. “Tawanan anda tidak akan dibebaskan melainkan tawanan kami dibebaskan,” katanya.
Jurucakap Briged al-Qassam Abu Obaida menulis di saluran Telegram: “Dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan, musuh berjaya membebaskan beberapa tawanan mereka. Tetapi pada masa yang sama, ia membunuh beberapa daripada mereka. Operasi ini akan menimbulkan bahaya besar bagi tawanan musuh dan akan memberi kesan negatif kepada keadaan mereka.”
Abu Obaida menyifatkan serangan Israel itu sebagai “jenayah perang yang kompleks”.
Pembunuhan beramai-ramai pada hari Sabtu itu membunuh lebih daripada 274 rakyat Palestin dan mencederakan ratusan di kem pelarian Nuseirat, termasuk lebih daripada 140 wanita, kanak-kanak, dan warga tua.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norshuhada Samudin
Selasa, 11-06-2024 – Amnesty International menyeru Israel agar mengarahkan pembebasan segera pakar bedah Palestin Khaled Al Serr dari Semenanjung Gaza, yang telah ditahan oleh rejim zionis hingga tidak dapat dikesan sejak 24 Mac 2024.
Rejim Israel mesti mendedahkan keberadaan dan status semua pekerja Kesihatan Palestin dari Gaza yang hilang secara paksa dan membebaskan mereka melainkan mereka didakwa dengan kesalahan jenayah antarabangsa dan dibicarakan mengikut piawai antarabangsa, organisasi hak asasi itu menyatakan.
Menanti pembebasan Dr. Khaled Al Serr, pihak berkuasa mesti mendedahkan kepada keluarga Dr. Khaled Al Serr tentang nasib, keberadaan dan alasan penahanan serta memastikan beliau boleh mendapatkan peguam, rawatan perubatan juga menemui ahli keluarganya.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Nur Idawati Md Enzai
Selasa, 11-06-2024 – Jurucakap PBB untuk Hak Asasi Manusia di Palestin, Francesca Albanese mengatakan bahawa Israel menggunakan alasan menyelamatkan rakyat mereka yang ditawan bagi melegitimasikan pembunuhan dan kelaparan warga Palestin di Gaza, sekaligus meningkatkan kekerasan terhadap warga Palestin di wilayah penjajah Israel lainnya.
Albanese menambah dalam hantaran tweet di akaunnya tentang Israel dan tentera asing, serta penggunaan trak bantuan yang berbahaya sebagai perlindungan sepanjang operasi, menggambarkannya sebagai penyamaran kemanusiaan di tingkat lain.
Pegawai PBB tersebut menekankan bahawa ada kemungkinan bagi Israel untuk mengambil kembali semua tawanan mereka dalam keadaan hidup dan tidak tercedera 8 bulan yang lalu ketika gencatan senjata pertama dan pertukaran tahanan disepakati. Namun Israel menolak dan terus menghancurkan Gaza dan rakyat Palestin. Hal ini sebagai niat yang jelas untuk melakukan genosid.
Sementara itu, Wakil Setiasusaha Agung PBB untuk Urusan Kemanusiaan, Martin Griffiths, mengatakan bahawa kem Nuseirat menjadi pusat gempa tragedi yang dialami Semenanjung Gaza. Adegan pembunuhan di Nuseirat membuktikan bahawa perang sedang terjadi dan lebih mengerikan.
Seramai 210 warga Palestin syahid dan lebih dari 400 orang tercedera pada hari Sabtu, dalam serangan yang dilakukan oleh pasukan Israel setelah serangan artileri dan pengeboman udara yang mensasarkan kem pelarian Nuseirat.
sumber : https://melayu.palinfo.com diterjemah oleh osman rasip
Selasa, 11-06-2024 – Beberapa orang rakyat Palestin cedera ketika menghadapi serangan penduduk haram Israel ke atas bandar Qusra, tenggara Nablus, pada petang Khamis.
Aktivis Fouad Hassan melaporkan bahawa sekumpulan penduduk haram Yahudi menyerang rumah milik warga Palestin di wilayah selatan Qusra, dan membakar salah satu daripada rumah-rumah tersebut, sambil disokong oleh kehadiran tentera Israel.
Konfrontasi ganas tercetus semasa serangan penduduk haram Israel, mengakibatkan beberapa kecederaan akibat tembakan, di kalangan penduduk tempatan.
Kerugian yang besar dilaporkan berikutan serangan itu, selepas kedai komersial, kenderaan, simpanan jerami, serta ladang haiwan ternakan dibakar.
Menurut pihak Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), krunya menangani dua orang awam yang cedera semasa serangan itu, termasuk seorang yang ditembak dengan peluru hidup dan seorang lagi dipukul dengan batu di kepala.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom
Isnin, 10-06-2024 – Pergerakan Hamas menyambut pengumuman Sepanyol untuk menyertai Afrika Selatan dalam kes genosid oleh Israel di Mahkamah Antarabangsa.
Dalam satu kenyataan media pada hari Khamis Hamas menyatakan “ Kami mengalu-alukan penyertaan Sepanyol dan menghargai peranan Sepanyol dalam mencapai keadilan antarabangsa dengan menghukum pencerobohan Israel dan tindakan kejam dan jenayah kemanusiaan.
Hamas menyeru semua negara-negara di dunia untuk menyertai Afrika Selatan dalam kes genosid ke Israel yang berteusan melakukan pembunuhan keatas warga Palestin dan menutup mata ke atas resolusi Mahkamah Antarabangsa dalam isu ini.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Hairul Ahmad
Isnin, 10-06-2024 – Setiausaha Agung PBB António Guterres melahirkan rasa sedih yang mendalam kerana tidak dapat melindungi pekerja UNRWA di Semenanjung Gaza.
“Saya secara peribadi kecewa kerana walaupun telah berusaha sehabis baik, kami tidak dapat melindungi kakitangan kami di Gaza,” katanya dalam satu majlis suram di ibu pejabat PBB di New York bagi memberi penghormatan kepada 188 kakitangan yang kehilangan nyawa mereka dalam menjalankan tugas pada 2023.
Antara mereka adalah 135 wanita dan lelaki yang bekerja untuk UNRWA, yang telah terbunuh semasa perang Israel di Gaza sejak 7 Oktober. Ramai yang terbunuh bersama keluarga mereka serta di dalam komuniti yang mereka santuni.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Neina
Isnin, 10-06-2024 – Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata bahawa serbuan Rejim Zionis ke atas bandar Nablus telah membunuh dua lelaki Palestin, berusia 33 dan 28 tahun, pada petang Isnin lalu.
Serangan itu turut mencederakan enam orang, tambah pihak berkuasa kesihatan.Rejim Zionis telah melakukan serangan hampir setiap hari ke atas bandar-bandar Palestin di Tebing Barat, dan membunuh beratus-ratus orang sejak permulaan perang di Gaza pada Oktober tahun lalu.
Bulan Sabit Merah Palestin juga mengesahkan bahawa seorang pemuda Palestin menghembuskan nafas terakhirnya akibat cedera selepas penahanannya oleh Rejim Zionis (IOF) ketika pertempuran ganas meletus di Nablus.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Dr Nurul
Selasa, 04-06-2024 – “Kami memaklumkan pengantara hari ini mengenai pendirian jelas kami bahawa jika Israel menghentikan peperangan dan pencerobohannya terhadap rakyat kami di Gaza, kami bersedia untuk mencapai persetujuan penuh yang merangkumi perjanjian pertukaran yang komprehensif,” Pergerakan Hamas mengisytiharkan dalam satu kenyataan yang diterbitkan di saluran Telegramnya pada hari Khamis.
“Kami menunjukkan fleksibiliti dan sikap positif dengan kerjasama pengantara sepanjang pusingan rundingan sebelum ini, yang membawa kepada pengumuman kelulusan cadangan pengantara pada 6 Mei,” kenyataan itu menyambung, merujuk kepada ketika, awal bulan ini, Hamas mengumumkan bahawa ia telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh pengantara: Qatar dan Mesir.
Israel bagaimanapun segera menolak tawaran ini daripada Hamas. Kemudian pada 7 Mei, Israel memulakan serangan tidak berperikemanusiaan ke atas orang awam di selatan Gaza, Rafah.
Israel “membalas pendirian positif kami dengan menyerang bandar Rafah dan menakluki lintasan sempadan, serta memberikan kenyataan-kenyataan yang mensabotaj usaha pengantara,” tambah Hamas dalam kenyataannya.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom
Selasa, 04-06-2024 – Dua orang terbunuh dan seorang lagi cedera pada hari Khamis dalam serangan udara Israel di perkampungan Houla di selatan Lubnan.
Sumber media Lubnan berkata bahawa serangan udara Israel menyasarkan kawasan kejiranan barat perkampungan Houla di tenggara Lubnan, membunuh dua orang dan mencederakan seorang lagi.
Sumber mengatakan bahawa lebih ramai mangsa masih hilang di bawah runtuhan bangunan. Ketegangan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel meningkat pada 8 Oktober 2023 berikutan serangan roket yang dilancarkan oleh Hezbollah dan puak penentang Palestin terhadap Israel sebagai tindak balas kepada pencerobohan besar-besaran Israel di Semenanjung Gaza.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Neina
Selasa, 04-06-2024 – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengkritik Amerika Syarikat yang menutup mulut terhadap kekejaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu.
Pada Isnin, Presiden Maduro menegaskan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu mengabaikan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan mengebom kanak-kanak.
“Netanhayu adalah Herodes zaman kita. Dan apa yang dikatakan oleh Amerika Syarikat? Dan apa yang dikatakan oleh Eropah? Mereka membisu. Kebisuan ini menggalakkan genosid. Ini adalah salah satu genosid paling mengerikan yang pernah dialami oleh penduduk dunia sejak zaman Hitler,” katanya.
“Presiden-presiden Eropah mempunyai segala kuasa untuk mengakhiri kengerian ini, tetapi mereka tidak melakukannya. Itu menjadikan mereka bersubahat dalam semua pembunuhan ini,” tegas Maduro.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Aida